Lapangan Terbang Brussels dibuka semula

Lapangan Terbang Brussels dibuka semula

BRUSSELS, 3 April (AFP) – Lapangan Terbang Brussels dibuka semula hari ini dengan tiga penerbangan ‘simbolik’ dan penambahan pemeriksaan keselamatan yang ketat untuk penumpang, menandakan satu era baru bagi perjalanan udara di Belgium selepas serangan oleh pengebom berani mati Islamic State (IS).

Pusat penerbangan utama itu telah ditutup sejak dua orang lelaki meletupkan diri di balai berlepas pada 22 Mac dalam letupan yang diselaraskan, yang juga melanda stesen metro di ibu negara Belgium, membunuh sejumlah 32 orang.

Serangan di tengah-tengah Eropah itu mengejutkan negara itu dan ramai berharap akan pembukaan semula lapangan terbang itu, walaupun dalam kapasiti yang terhad dan menggunakan kemudahan daftar masuk sementara.

Ketua Eksekutif Lapangan Terbang Brussels Arnaud Feist pada Sabtu lalu berkata pembukaan semula separa perkhidmatan akan bermula dengan tiga “penerbangan penumpang simbolik” ke Faro, Athens dan Turin. “Penerbangan itu adalah satu tanda pemulihan pertama dari sebuah lapangan terbang yang dilanda oleh serangan lalu itu,” kata Feist.

Peter De Waele, Arnaud Feist dan Jonniaux mengadakan sidang media mengenai pembukaan semula lapangan terbang Brussels Sabtu lalu. – AFP
Peter De Waele, Arnaud Feist dan Jonniaux mengadakan sidang media mengenai pembukaan semula lapangan terbang Brussels Sabtu lalu. – AFP

Pengesan dan pemeriksaan yang baru lebih ketat telah ditempatkan selepas polis mengancam untuk melancarkan mogok jika keselamatan tidak bertambah baik, dan pelancong diminta datang tiga jam awal sebelum masa berlepas.

Salah satu perubahan yang paling besar adalah hanya penumpang yang mempunyai tiket dan dokumen ID akan dibenarkan masuk ke balai berlepas sementara, dan beg mereka akan diperiksa sebelum masuk. Apabila berada di dalam, penumpang juga akan menjalani pemeriksaan keselamatan biasa.

Lapangan terbang itu hanya boleh diakses dengan kereta. Kenderaan akan ditapis bagi pemeriksaan lanjut, manakala polis tambahan dan tentera akan membuat rondaan di seluruh kawasan lapangan terbang.

Penerbangan pertama akan berlepas ke Faro di 1140 GMT, dan bilangan berlepas akan meningkat pada masa akan datang. Lapangan terbang itu akan hanya dapat beroperasi dalam 20 peratus kapasiti penggunaan kemudahan sementara, mengendalikan 800 hingga 1,000 penumpang sejam.