Lapangan terbang Brussels diserang

Lapangan terbang Brussels diserang

BRUSSELS, 22 Mac – Seramai 34 orang terkorban dalam serangan yang berlaku ke atas lapangan terbang Brussels dan kereta api metro di bandar Belgium hari ini, menurut penyiaran awam VRT, mencetuskan amaran keselamatan di seluruh Eropah dan membawa kepada beberapa penangguhan lalu lintas rentas sempadan.

Seorang saksi lelaki mengatakan dia mendengar satu jeritan dalam Bahasa Arab dan tembakan dilepaskan sebelum dua letupan menggegarkan lobi berlepas yang dipenuhi ramai orang di lapangan terbang.

Pendakwa, Frederic Van Leeuw mengatakan dua letup-an menyasarkan dewan utama Lapangan Terbang Zaventem sekitar jam 8 pagi (0700 GMT), dengan satu letupan itu kemungkinan dicetuskan oleh pengebom berani mati berkenaan.

Manakala letupan ketiga melanda stesen metro Maalbeek berhampiran bangunan utama Kesatuan Eropah (EU), ketika orang ramai sedang membuat perjalanan mereka ke tempat kerja pada waktu sibuk.

Letupan berlaku empat hari selepas penangkapan di Brussels ke atas seorang suspek yang disyaki menyertai serangan militan pada November di Paris yang membunuh 130 orang.

Sebilangan penumpang berselubung selimut meninggalkan tempat kejadian letupan yang berlaku di lapangan terbang Zaventem berhampiran Brussels, Belgium pada 22 Mac. – Reuters
Sebilangan penumpang berselubung selimut meninggalkan tempat kejadian letupan yang berlaku di lapangan terbang Zaventem berhampiran Brussels, Belgium pada 22 Mac. – Reuters
pg15_160323_b
Pekerja penyelamat merawat mangsa di luar stesen metro Maelbeek selepas berlakunya letupan di Brussels, Belgium. – Reuters

Polis Belgium dan pasukan tempur mengawal di jalan-jalan dalam keadaan berwaspada namun serangan berlaku di kawasan sesak tempat orang ramai dan beg-beg tidak diperiksa.

Semua pengangkutan awam di Brussels telah ditutup, sama seperti di London semasa serangan militan 2005 yang membunuh 52 orang.

Pihak berkuasa menyeru kepada semua orang untuk tidak menggunakan rangkaian telefon, tentera tambahan juga telah dihantar ke bandar dan Pusat Krisis Belgium, jelasnya bimbang tentang insiden selanjutnya.

Alex Rossi dari televisyen British Sky News, yang berada di lapangan terbang, mengatakan dia mendengar dua ‘letupan yang sangat, sangat besar’.

“Saya boleh merasakan bangunan itu bergerak. Habuk dan asap ada di mana-mana…saya menghala ke arah tempat letupan itu muncul dan ramai orang keluar dalam keadaan terkejut dan bingung.”

VRT mengatakan polis telah menemui senapang Kalashnikov berhampiran mayat penyerang di lapangan terbang. Senjata seperti itu menjadi ciri utama serangan diinspirasikan kumpulan Islamic State (IS) di Eropah, terutamanya di Belgium dan Perancis, termasuk serangan di Paris pada 13 November.

Tali pinggang letupan yang tidak digunakan juga ditemui di kawasan itu, kata penyiaran awam. Polis masih lagi meneruskan siasatan ke atas mana-mana bom atau penyerang.

Alphonse Youla, 40, yang bekerja di lapangan terbang itu memberitahu Reuters dia mendengar seorang lelaki menjerit dalam Bahasa Arab sebelum terjadinya letupan pertama. “Kemudian siling kaca di lapangan terbang itu runtuh.”

“Saya membantu mengeluarkan lima orang yang sudah tidak bernyawa, kaki mereka hancur,” katanya dengan tangannya berlumuran darah.

Manakala, seorang saksi mengatakan letupan itu berlaku di meja daftar masuk.

Rakaman video menunjukkan kemusnahan berlaku di dinding dengan jubin siling dan kaca bertaburan di lantai. Beberapa penumpang yang keluar dari terminal dengan darah berpercikan di pakaian mereka.

Asap mula kelihatan dari bangunan menerusi tingkap yang pecah dan para penumpang melarikan diri ke landasan kapal, beberapa daripada mereka masih lagi menarik beg-beg mereka.

Penyiaran awam RTBF mengatakan polis sedang memeriksa rumah-rumah di kawasan Brussels.

VRT mengatakan 20 terkorban dalam kereta api metro dan 14 di lapangan terbang. Pihak berkuasa sebelumnya mengatakan jumlahnya 11 orang dalam pengeboman lapangan terbang dan 15 dalam kereta api bawah tanah.

Ramai yang terkorban dan cedera di lapangan terbang itu mengalami kecederaan teruk di kaki, seorang pekerja di sana memberitahu Reuters, mengatakan mungkin sebiji bom diletakkan di dalam beg di lantai.

Akibat serangan itu, Britain, Jerman, Perancis dan Netherlands, semuanya berwaspada dengan limpahan konflik di Syria, antara kalangan negeri yang mengumumkan langkah keselamatan. – Reuters/AFP

 

 

 

ARTIKEL YANG SAMA