Lapangan terbang ditutup selepas pembakaran sengaja

Lapangan terbang ditutup selepas pembakaran sengaja

BEIJING, 29 Julai (AFP) – Pihak berkuasa China telah membatalkan operasi di lapangan terbang serantau kecil di timur negara itu, lapor media kerajaan hari ini, selepas serangan bakar di dalam penerbangan tempatan yang mengakibatkan dua orang penumpang tercedera.

Seorang saksi memberitahu penyiar kerajaan China Central Television (CCTV) bahawa seorang lelaki telah membakar tabir dan surat khabar dalam kabin kelas pertama dalam penerbangan itu dari bandar pantai Taizhou ke metropolis selatan, Guangzhou.

Lelaki yang membakar dengan sengaja itu menaiki penerbangan Shenzhen Airlines dari Taizhou dengan membawa sebilah pisau, pemetik api dan gasolin, di sebalik tegahan membawa barangan itu, lapor agensi berita rasmi Xinhua dengan memetik laporan lapangan terbang dan saksi.

Para penumpang dan krew menahan lelaki itu selepas dia cuba mula menyalakan api ketika kapal terbang mendarat pada pagi Ahad lalu, menurut laporan itu.

Pihak berkuasa telah memecat dua pegawai penerbangan di Taizhou berhubung kejadian itu, lapor Xinhua, dengan memetik pegawai-pegawai kerajaan setempat.

ARTIKEL YANG SAMA