Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma ditutup sehingga 15 Jun

Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma ditutup sehingga 15 Jun

JAKARTA, 5 April (Bernama) – Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini akan ditutup pada pukul 11 malam sehingga 5 pagi mulai hari ini sehingga 15 Jun depan bagi membolehkan kerja-kerja menurap semula landasan.

Menurut kenyataan Biro Informasi dan Komunikasi Kementerian Perhubungan yang disiarkan oleh media-media dalam talian tempatan, jadual kerja penurapan landasan itu sememangnya dirancang awal lagi dan ia tiada kaitan dengan insiden perlanggaran pesawat yang berlaku malam tadi.

Ketua biro itu JA Barata dipetik sebagai berkata, kerja-kerja melapisi semula permukaan landasan itu adalah perkara biasa yang dilakukan berdasarkan jadual penyelenggaraan.

Lapangan terbang itu kini beroperasi seperti biasa pada pukul 6 pagi tadi setelah ditutup mulai pukul 8 malam semalam akibat perlanggaran antara pesawat Batik Air dengan pesawat Trans Nusa Air.

Dalam kejadian itu, pesawat Batik Air Boeing 737-800 yang membawa 49 penumpang dan tujuh anak kapal berlanggar dengan pesawat TransNusa Air jenis ATR 42-600 apabila kedua-dua pesawat bertembung di landasan yang sama.

Bagaimanapun, kesemua penumpang Batik Air yang dalam penerbangan ke Makassar, Sulawesi Selatan dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pesawat Trans Nusa pula tiada penumpang dan ketika kejadian ia sedang ditarik ke hangar.