Lapangan terbang Manila putus bekalan elektrik

Lapangan terbang Manila putus bekalan elektrik

MANILA, 3 April (AFP) – Bekalan elektrik terputus membelenggu sebahagian besar lapangan terbang utama di ibu negara Filipina Manila semalaman, sekaligus memaksa pembatalan penerbangan yang menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas hari ini.

Sebanyak 78 penerbangan daripada syarikat penerbangan terbesar negara Cebu Pasifik dibatalkan, menjejaskan hampir 14,000 penumpang, kata syarikat dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan Philippine Airlines juga berkata beberapa penerbangannya dibatalkan atau ditangguhkan tetapi tidak dapat berkata jumlahnya.

Bekalan elektrik terputus melanda Terminal 3, yang memberi perkhidmatan kepada kebanyakan penerbangan domestik, pada lewat semalam dan bekalan elektrik masih belum dipulihkan sehingga subuh hari ini.

Penumpang yang keletihan terbongkang di atas lantai kerana kaunter daftar masuk dan karusel bagasi ditutup. Barisan panjang terbentuk di luar terminal tatkala pintu masuk ditutup sehingga bekalan elektrik dipulihkan.

Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, dinamakan sempena bapa Presiden Benigno Aquino, mengendali kira-kira 350 penerbangan domestik dan antarabangsa sehari, menurut data daripada kementerian pengangkutan.

Ia adalah satu daripada empat terminal dalam sebuah kompleks yang pernah digelar laman web pelancongan Panduan Tidur di Lapangan sebagai yang paling teruk di dunia disebabkan tandas bocor dan kemudahan usang.

“Kami sedang menyiasat punca masalah,” beritahu pengurus Terminal 3 Octavio Lina kepada radio DZMM.

Peruncit elektrik Manila Meralco berkata satu talian penghantaran terputus sekejap tetapi dipulihkan dalam masa beberapa minit, mencadangkan masalah itu mungkin disebabkan sistem lapangan terbang.

Empat terminal lapangan terbang Manila direka untuk 17 juta penumpang setahun, tetapi penggunaan berlebihan telah menjadikan lapangan terbang itu terkenal dengan penangguhan penerbangan.

Rancangan untuk membina lapangan terbang baru di luar Manila masih belum menjadi kenyataan di bawah Aquino. Usaha membaik pulih infrastruktur yang amat perlahan telah membawa kepada kerosakan kereta api dan kesesakan lalu lintas yang teruk.

ARTIKEL YANG SAMA