Laporan pencemaran Tianjin bakal dikeluarkan

Laporan pencemaran Tianjin bakal dikeluarkan

BEIJING, 28 Ogos – Kementerian Persekitaran China telah memasang sistem pengawasan 24 jam bagi bahan cemar dari letupan bulan ini di sebuah pelabuhan dan akan melaporkan data tepat dan kena pada masanya kepada awam, menurut kementerian itu hari ini.

Letupan di sebuah gudang yang menyimpan bahan kimia di bandar pelabuhan Tianjin, tidak jauh dari Beijing telah mengorbankan kira-kira 145 orang dan mencetuskan kemarahan tentang piawaian keselamatan kerja dan kemungkinan risiko kesihatan akibat daripada kejadian itu.

Bercakap pada satu mesyuarat, Menteri Persekitaran Chen Jining berkata pengawasan persekitaran tidak akan berkurang, dengan pemeriksaan 24 jam bagi pencemaran udara, tanah dan air.

Kementerian akan “mengeluarkan data pengawasan kepada orang ramai dalam masa yang sesuai dan tepat,” akhbar rasmi, China Environment News memetik Chen sebagai berkata.

Chen menambah kata kementerian itu akan “dengan tepat memberi respons untuk menumpu perkara-perkara dan topik-topik hangat bagi masyarakat, memastikan hak orang ramai untuk mengetahui tentang maklumat persekitaran.”

China mempunyai reputasi buruk bagi ketelusan, terutamanya tentang insiden mengaibkan seperti bencana yang boleh memperlihatkan dengan teruk kemampuan parti memerintah, Parti Komunis untuk memastikan keselamatan awam.

Undang-undang perlindungan persekitaran baru, bermula 1 Januari telah memberikan hak kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat tentang persekitaran dan juga menetapkan bahawa pegawai-pegawai yang bertanggung jawab langsung bagi kelakuan yang menyalahi undang-undang akan dipecat.

China secara rasmi telah menahan dua belas orang berhubung letupan itu dan menuduh 11 orang pegawai dan eksekutif pelabuhan cuai dalam tugas atau menyalahgunakan kuasa.

Parti itu juga memecat ketua pengatur keselamatan kerja, bekas timbalan datuk bandar Tianjin, di atas tuduhan rasuah, tetapi tanpa mengaitkan jelas dengan letupan kimia pada 12 Ogos lalu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA