Laporan TAP tepati piawaian antarabangsa

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Laporan Kewangan Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang diproses melalui laman sesawang TAP bermula tahun kewangan 2016/2017 mematuhi Laporan Standard Antarabangsa sebagaimana yang dikehendaki Kementerian Kewangan bagi meningkatkan ketelusan aktiviti pengurusan dana.

Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yussof, selaku pengerusi Lembaga TAP berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat wakil daerah mengenai Laporan Kewangan TAP.

“Pihak Kementerian Kewangan dan TAP sentiasa membuat kajian secara holistik sama ada dari segi struktur dan strategik pelaburan dengan mengambil kira kajian perbandingan dengan skim-skim persaraan yang ada di negara jiran, misalnya pada tahun 2006, TAP menggunakan khidmat Universiti Brunei Darussalam untuk meneliti keupayaan skimnya dalam jangka panjang,” jelas Yang Berhormat Pehin.

“Skim SCP yang ditubuhkan pada 1 Januari 2010 sebagai tambahan pada skim TAP juga hasil kajian Kementerian Kewangan dan TAP. Dengan SCP ini, kerajaan telah membuat bayaran ‘Catch Up’ sebanyak $30 sebulan kepada ahli SCP yang telah menjadi ahli TAP sejak Januari 1993 atau apabila ahli mencapai umur 25 tahun,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Jumlah perbelanjaan kerajaan dan membuat pembayaran SCP secara keseluruhan adalah sebanyak $283.48 juta. Bagi mereka yang bergaji kurang daripada $500 sebulan, kerajaan juga ada membuat caruman tambahan ke akaun ahli setiap bulan bagi mencukupkan caruman bulanannya.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi – Gambar Infofoto

Yang Berhormat Haji Ramli.

Pada tahun 2012, untuk membantu ahli-ahli TAP memiliki rumah seawal yang boleh supaya simpanan digunakan sepenuhnya pada hari persaraan, kerajaan telah memperkenalkan skim tabungan perumahan dengan memberikan bantuan kewangan sebanyak maksimum $25,000 kepada ahlinya tetapi tertakluk kepada persyaratan yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya pihak kerajaan telah membuat pembayaran bantuan kewangan sebanyak $6.5 juta.

Ketika menyentuh mengenai strategi pelaburan yang dilaksanakan dengan objektif utama untuk melindungi simpanan ahlinya, Yang Berhormat Pehin menjelaskan aktiviti pelaburan TAP mengutamakan pelaburan secara berhemah.

“Pelaburan dijalankan dengan memberikan keutamaan kepada perlindungan modal di samping memastikan terdapat kecairan dan memberikan kadar pulangan stabil yang mampu melebihi kadar inflasi dan deposit tunai dalam jangka panjang,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

TAP telah mempelbagaikan pelaburan dalam bentuk sukuk, bon, ‘money market instrument’ dan inkuiti pasaran yang juga tertakluk kepada iklim pelaburan dunia dan serantau.

Ketika menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit mengenai pengeluaran bulanan Skim SCP minuman $150 sebulan setelah mencapai umur 60 tahun, Yang Berhormat Pehin berkata, tujuan utama SCP adalah untuk memastikan semua peserta yang telah memenuhi syarat menerima bayaran pendapatan anuiti minimum dalam sebulan.

“Dalam hubungan ini, prasyaratan yang telah ditetapkan untuk adalah mencarum dengan Skim TAP tidak kurang dari 35 tahun. Jika prasyaratan tidak dipenuhi maka jumlah anuiti bulanan tertakluk kepada jumlah simpanan terkumpul dalam akaun ahli yang membolehkan bayaran bulanan $12,000 atau pembayaran minimum $50 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

“Jika jumlah ini dicampur dengan elaun pencen tua $250 sebulan, ahli akan mendapat jumlah $300 sebulan. Oleh yang demikian, jumlah pembayaran anuiti terendah adalah sebanyak $50 sebulan dan bukan $40 sebulan,” jelas beliau lagi.