Larangan mandi di kawasan rekreasi, pantai ketika tengkujuh

Larangan mandi di kawasan rekreasi, pantai ketika tengkujuh

BESUT, 21 Dis (Bernama) – Aktiviti rekreasi seperti mandi-manda di semua kawasan rekreasi termasuk pantai dan pulau di Terengganu adalah dilarang pada musim tengkujuh sekarang.

Menteri Besar Datuk, Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan telah membuat pengumuman mengenai perkara tersebut sebelum ini membabitkan kawasan-kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, arahan itu masih tidak dipatuhi hingga terlakunya kejadian yang tidak diingini terutama lemas.

“Musim tengkujuh merupakan musim yang tidak sesuai melakukan kegiatan rekreasi termasuk mandi manda sama ada di kawasan air terjun, tasik dan pantai kerana ianya boleh mendatangkan risiko,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat ibu kepada mangsa letupan dandang di Abu Dhabi Mohd Sukri Sulaiman, 45, di kediamannya di Kampung Padang Landak, Jerteh di sini hari ini.

Menurutnya arahan juga telah dikeluarkan mengenai penutupan semua kawasan rekreasi sehingga bulan Mac depan tetapi tempat itu masih didatangi pengunjung terutamanya oleh pelancong dan pelawat dari luar.

Ahmad Razif mengulas kejadian lemas di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu melibatkan sepasang suami-isteri dan tiga anak perempuan mereka Sabtu lepas.

Beliau turut mengulas kejadian terbaharu di Pantai Rhu 10, Setiu pagi ini membabitkan tiga pelajar tahfiz.

Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan sementara dua rakannya masih hilang.

ARTIKEL YANG SAMA