Lari dari mahkamah

Lari dari mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160615_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Dua lelaki tempatan yang bertindak melarikan diri dari mahkamah selepas permohonan ikat jamin mereka ditolak dijatuhi hukuman tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Raubanizam bin Haji Raub, 34, dan Mohd Fuad bin Mohd Ibrahim, 25, disabit kerana melarikan diri daripada jagaan polis selepas menghadirkan diri untuk perbicaraan di Mahkamah Perantaraan pada 7 Mei 2015.

Sebelum kejadian, hakim di mahkamah tersebut menolak permohonan ikat jamin kedua-dua tertuduh yang terdahulu mengaku tidak bersalah atas pelbagai pertuduhan curi.

Kedua-dua tertuduh yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang telah memerintahkan mereka untuk ditahan reman telah melarikan diri dengan meluru keluar dari mahkamah sebelum polis sempat membawa mereka dalam jagaan.

Kedua-dua tertuduh hanya sempat menikmati ‘kebebasan’ selama sehari apabila Mohd Fuad ditangkap pada keesokan harinya di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba manakala Raubanizam diberkas di kawasan hutan di Kampung Bengkurong.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa 13 Jun 2016.

ARTIKEL YANG SAMA