Larian Amal 7 Ogos

Larian Amal 7 Ogos

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Sempena Hari Jantung Sedunia tahun ini, Majalah Plus+ akan menganjurkan Larian Amal Tahunan ke-2 pada 7 Ogos 2016 depan, yang diharapkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanda-tanda kecil dan simptom penyakit jantung dan kanser.

Dengan mengadakan acara berkenaan, Majalah Plus+ berharap untuk meningkatkan pembiayaan yang diperlukan oleh organisasi tidak berasaskan keuntungan tempatan seperti H.E.A.R.T. Brunei, iaitu organisasi yang komited dalam menolong masyarakat dan individu yang mengalami masalah jantung.

Pengumuman mengenai acara amal berkenaan telah dibuat oleh wakil-wakil dari Majalah Plus+, Kementerian Kesihatan, H.E.A.R.T Brunei, Brunei Cardiac Society, Gleneagles, Victory Athletes, dan Magic Media dalam sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Larian amal berkenaan akan dibukakan kepada orang ramai dengan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 3km, 5km, dan juga 10km.

Selain larian, ia juga akan dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang akan diadakan sejurus selepas perlumbaan berakhir.

Sesi bergambar ramai bersama penaja dan rakan kongsi bagi Larian Amal Tahunan Plus+.
Sesi bergambar ramai bersama penaja dan rakan kongsi bagi Larian Amal Tahunan Plus+.

Manakala itu, 2,000 peserta pertama yang membayar yuran pendaftaran akan menerima barangan edisi terhad dan semua pelari akan menerima paket-paket hadiah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dengan slogan kata ‘Help a Heart Beat the Odds’, acara berkenaan bertujuan untuk membawa bersama-sama individu dan syarikat dalam satu kumpulan untuk meningkatkan kesihatan jantung.

Sebagai salah satu rakan kongsi Larian Amal Tahunan Plus+, Magic Media ada mempunyai sejarah dalam menyumbangkan kepada kempen amal, dan memberi balik kepada masyarakat, keluarga dan kanak-kanak.

Pusat Promosi Kesihatan juga telah bekerjasama dengan Larian Amal Tahunan Plus+ bagi menggalakkan pilihan gaya hidup sihat untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular.

Sebagai salah satu daripada pemacu utama untuk promosi dan inisiatif kesihatan di Brunei, Pusat Promosi Kesihatan berhasrat untuk memperkasakan masyarakat untuk menjadi sihat dengan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan pemahaman tentang isu-isu kesihatan.

ARTIKEL YANG SAMA