Larian Amal BDNAB 20 Mac ini

Larian Amal BDNAB 20 Mac ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) akan mengadakan Larian Amal Tongkat Putih 2016 kali ke-3 bermula pada jam 6 pagi pada 20 Mac 2016 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Larian tahun ini adalah kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) bersempena dengan Hari Tongkat Putih sedunia yang disambut pada 15 Oktober sejak 1964.

Bercakap dalam satu sidang media di sini hari ini Pegawai Pelajar Kanan JPKK, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim selaku pengerusi bersama larian berkata, Larian Amal Tongkat Putih 2016 ini diungkayahkan sebagai satu cara untuk beramal, beriadah dan mengisikan masa untuk mengamalkan hidup sihat melalui bersenam bersama-sama Orang Berkeperluan Khas (OPK) Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Menurut beliau, larian bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam bahawa di negara ini juga terdapat golongan OBK Penglihatan, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli persatuan.

Selain itu, ia juga untuk mendapatkan sumbangan kutipan derma dari orang ramai dan peserta larian bagi kegunaan tabung BDNAB serta membiayai perbelanjaan bagi kegiatan yang dijalankan bagi persatuan tersebut bagi sepanjang tahun 2016 dan 2017.

Pengiran Jusri semasa sidang media tersebut.
Pengiran Jusri semasa sidang media tersebut.
Gambar ramai bersama para penaja Larian Amal Tongkat Putih 2016.
Gambar ramai bersama para penaja Larian Amal Tongkat Putih 2016.

Katanya, sebanyak tiga kategori akan dibukakan kepada orang ramai iaitu Kategori Fun Run bagi orang ramai dan peserta OBK terbuka, Kategori 5Km bagi lelaki dan perempuan berusia 12 tahun ke atas dan Kategori 10Km bagi lelaki dan perempuan yang berusia 16 tahun ke atas.

Bagi tahun ini, acara larian tersebut akan dibukakan bagi peserta kebangsaan sahaja dan tidak dibukakan kepada peserta antarabangsa.

Sementara itu, Dayang Noor Ani Adriana binti Awang Adanan yang juga Setiausaha Bersama memberitahu, bayaran bagi kategori Fun Run bagi peserta OBK adalah percuma, manakala bagi Fun Run orang ramai terbuka dikenakan bayaran sejumlah $25.

Bagi kategori 5Km pula bayaran penyertaan adalah $30 dan kategori 10Km pula ialah $35.

Setiap peserta, jelasnya lagi akan menerima sehelai baju T-shirt dan nombor bib yang akan digunakan semasa larian dan bagi peserta yang menamatkan larian akan memperoleh pingat dan sijil larian.

Bagi meningkatkan lagi jumlah pendaftaran, pihak JPKK akan memberikan memo kepada sekolah-sekolah rendah, sekolah menengah, pra universiti, universiti dan juga institut pengajian tinggi bagi memberigakan lagi acara larian tersebut.

Bagi orang ramai yang berminat bolehlah memuat turun borang pendaftaran di laman sesawang www.bdnab.com.

Pendaftaran dan pembayaran bagi mengikuti larian ini akan bermula pada 18 Januari ini sehingga 31 Januari nanti yang bertempat di Stadium Tertutup Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pemangku Pegawai Pelajar Kanan JPKK, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab selaku Setiausaha Bersama dan Muhammad Hamzi bin Omar selaku Timbalan Pengerusi.

ARTIKEL YANG SAMA