Larian Amal BDNAB kutip lebih $13,000

Larian Amal BDNAB kutip lebih $13,000

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Larian Amal Tongkat Putih ke-3 tahun ini telah berjaya mengumpulkan kutipan derma lebih daripada $13,000 yang akan digunakan untuk membeli alat-alat keperluan khas orang cacat.

Larian anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan pagi tadi itu telah disertai lebih 1,200 orang peserta yang bermula dan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir bagi menyempurnakan pelepasan para peserta dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Larian telah didahului dengan sesi senamrobik sebelum pelepasan larian mengikut kategori.

Pemenang Kategori Terbuka Lelaki 5km bergambar bersama Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Pemenang Kategori Terbuka Lelaki 5km bergambar bersama Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melepaskan para peserta Larian Amal Tongkat Putih di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melepaskan para peserta Larian Amal Tongkat Putih di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Antara peserta yang menyertai larian.
Antara peserta yang menyertai larian.

Larian kali ke-3 ini telah membukakan enam kategori bagi penyertaan orang ramai iaitu Kategori Terbuka Lelaki 10km, Kategori Terbuka Wanita 10km, Kategori Terbuka Lelaki 5km, Kategori Terbuka Wanita 5km, Fun Run dan Fun Run bagi peserta OBK.

Dalam empat kategori yang dipertandingkan, Kategori Terbuka Lelaki 10km dijuarai oleh Yong Khong Wei, diikuti oleh Faizal bin Haji Ahmad dan Ian Bickle masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Juara Kategori Terbuka Wanita 10km pula disandang oleh Yvette J.M Kortekaas, manakala itu, Dayang Norhaffyzah binti Lamat menduduki tempat kedua dan Dayang Shazana Nabilah binti Haji Ayob di tempat ketiga.

Bagi Kategori Terbuka Lelaki 5km, tempat pertama dimenangi oleh Awang Razali Sabli, diikuti oleh Awang Muhd Qamarul Ariffin bin Hifni di tempat kedua dan Haji Jupli bin Haji Pangis di tempat ketiga.

Manakala itu, Kategori Terbuka Wanita 5km pula dijuarai oleh Dayang Nikmatul Fatinah binti Haji Awang Ismail, diikuti oleh Dawn Lovell di tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Ling Deyuan.

Larian ini diungkayahkan sebagai satu cara untuk beramal, beriadah dan mengisikan masa untuk mengamalkan hidup sihat melalui bersenam bersama-sama Orang Berkeperluan Khas (OBK) Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, Larian Amal BDNAB ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam bahawa di negara ini juga terdapat golongan OBK Penglihatan, serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli persatuan.

ARTIKEL YANG SAMA