Larian Amal CHMS terima tajaan baucar

Larian Amal CHMS terima tajaan baucar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Kedai konsep Korea, Bung’eo selaku salah sebuah syarikat penaja Larian Amal Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS) 2016 menawarkan baucar diskaun 10 peratus bagi para peserta larian itu.

Pelancaran baucar tajaan itu diadakan hari ini di premis Bung’eo di City Square oleh Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut CHMS, Tan Guan Siong bersama wakil kedai Bung’eo, John Lee Tze Tak serta ahli-ahli jawatankuasa larian itu.

Larian amal itu bertujuan membantu beberapa buah persatuan kebajikan dan organisasi pendidikan seperti Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan KACA, SMARTER Brunei, CHMS Bandar Seri Begawan dan Dana Pendidikan Persatuan Bekas Penuntut CHMS.

Menurut John Lee Tze Tak, tajaan ini merupakan salah satu cara untuk meyokong larian amal yang begitu bermanfaat lebih-lebih lagi untuk mengutip sumbangan bagi badan-badan kebajikan dan organisasi pendidikan.

Beliau menjelasakan, buat masa ini, kedai Bung’eo telah mengagihkan sebanyak 2000 baucar bagi mana-mana orang ramai yang menyertai larian amal itu nanti.

Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut CHMS, bergambar ramai bersama wakil kedai Bung’eo, John Lee Tze Tak (tengah) serta ahli-ahli komiti larian yang lain.
Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut CHMS, bergambar ramai bersama wakil kedai Bung’eo, John Lee Tze Tak (tengah) serta ahli-ahli komiti larian yang lain.

Larian amal yang akan diadakan pada 25 September nanti akan bermula dan berakhir di Kawasan Letak Kereta, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan menampilkan 10 kategori iaitu kategori Fun Run 3 kilometer, lelaki dan perempuan; kategori larian 5.5 kilometer, lelaki dan perempuan bawah 18 tahun; kategori larian 5.5 kilometer, lelaki dan wanita 50 tahun ke atas; larian 5.5 kilometer terbuka lelaki dan wanita 14 tahun ke atas; dan kategori larian terbuka 10.5 kilometer lelaki dan wanita.

Orang ramai yang berminat menyertai larian itu boleh mendapatkan borang-borang penyertaan dan mengembalikannya kepada Persatuan Bekas Penuntut CHMS, Gadong; Pejabat Pentadbiran; CHMS Bandar Seri Begawan; Ibu Pejabat Aewon Kiarong; Pejabat Aewon Seria; Pejabat Cityneon Brunei, Beribi; Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong; Pejabat SMARTER Brunei, Kampung Perpindahan Mata-Mata dan Pejabat Persatuan KACA, Kiulap.

Tarikh tutup bagi menghantar borang penyertaan berserta bayaran yuran penyertaan ialah pada 31 Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA