Larian amal Chung Hwa

Larian amal Chung Hwa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Dengan hasrat untuk menggalakkan amalan hidup yang sihat melalui kegiatan riadah sambil beramal, Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS), buat kali pertamanya, akan mengadakan Larian Amal Persatuan Bekas Penuntut CHMS 2016 pada 25 September nanti yang bermula dan berakhir di Kawasan Letak Kereta, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Larian amal itu dihasratkan untuk mengutip sumbangan bagi membantu beberapa buah persatuan kebajikan dan organisasi pendidikan termasuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan KACA, SMARTER Brunei, CHMS Bandar Seri Begawan dan Dana Pendidikan Persatuan Bekas Penuntut CHMS.

Pengumuman mengenai acara larian amal itu dibuat oleh Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut CHMS, Tan Guan Siong dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Chan Sui Kiat, Persatuan Bekas Penuntut CHMS, Gadong, hari ini.

Di samping itu, Tan berkata, acara larian amal itu bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan di antara ahli-ahli persatuan dengan masyarakat serta untuk memberikan peluang kepada orang ramai menyertai kegiatan riadah iaitu larian sambil beramal.

Tan Guan Siong bergambar ramai dengan para penganjur, penaja dan wakil persatuan kebajikan bagi Larian Amal Persatuan Bekas Penuntut CHMS 2016.
Tan Guan Siong bergambar ramai dengan para penganjur, penaja dan wakil persatuan kebajikan bagi Larian Amal Persatuan Bekas Penuntut CHMS 2016.

Beliau berkata larian amal itu menyasarkan penyertaan seramai kira-kira 3,000 orang dalam 10 kategori iaitu kategori Fun Run 3 kilometer, lelaki dan perempuan; kategori larian 5.5 kilometer, lelaki dan perempuan bawah 18 tahun; kategori larian 5.5 kilometer, lelaki dan wanita 50 tahun ke atas; larian 5.5 kilometer terbuka lelaki dan wanita 14 tahun ke atas; dan kategori larian terbuka 10.5 kilometer lelaki dan wanita.

Larian itu terbuka bagi penyertaan semua orang yang berminat dengan pendaftaran akan dibuka bermula esok (26 Julai) dan tarikh tutup bagi menghantar borang penyertaan serta membuat bayaran yuran penyertaan ialah pada 31 Ogos.

Borang-borang penyertaan bagi menyertai larian amal berkenaan boleh diperoleh dan dikembalikan ke Persatuan Bekas Penuntut CHMS, Gadong; Pejabat Pentadbiran; CHMS Bandar Seri Begawan; Ibu Pejabat Aewon Kiarong; Pejabat Aewon Seria; Pejabat Cityneon Brunei, Beribi; Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong; Pejabat SMARTER Brunei, Kampung Perpindahan Mata-Mata dan Pejabat Persatuan KACA, Kiulap.

ARTIKEL YANG SAMA