Larian Amal Daerah Belait 22 Nov

Larian Amal Daerah Belait 22 Nov

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Okt – Jabatan Daerah Belait dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait akan mengadakan Larian Amal Daerah Belait pada 22 November depan bagi mengutip dana mengisikan Tabung Amal Daerah Belait dan Tabung Sukan Daerah Belait.

Dana berkenaan adalah bagi pembangunan sukan Daerah Belait, di samping menggalakkan dan mengumpulkan semua lapisan masyarakat di daerah ini khususnya supaya melibatkan diri secara aktif menyertai kegiatan-kegiatan riadah sebagai salah satu usaha mengamalkan cara hidup yang sihat.

Selain itu, ia juga untuk mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan lapisan masyarakat yang berbilang kaum, keturunan dan bangsa di daerah ini khususnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.

Larian tersebut akan bermula di Padang Bandaran dan dibukakan bagi penyertaan semua penduduk yang tinggal, bekerja dan bersekolah di Negara Brunei Darussalam.

Petak pendaftaran Larian Amal Daerah Belait yang terletak di KBSentral.
Petak pendaftaran Larian Amal Daerah Belait yang terletak di KBSentral.

Ia akan dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu 17 tahun ke bawah lelaki dan perempuan sejauh 5 km, terbuka lelaki dan perempuan sejauh 9 km, veteran 45 tahun ke atas lelaki dan perempuan sejauh 5 km serta kategori Fun Run sejauh 3.5 km, yang mana bayaran penyertaan adalah di antara $20 hingga $25 mengikut kategori.

Borang penyertaan hendaklah diisikan dengan lengkap berserta bayaran pendaftaran secara tunai dan hendaklah dikembalikan terus kepada Urus Setia Larian Amal Daerah Belait 2015 di Lobi Tingkat 1 Bangunan KBSentral, Jalan Seri Maharaja Kuala Belait tidak lewat 7 November 2015 pada jam 3:30 petang.

Bagi keterangan lanjut termasuk tempat mengambil borang bolehlah menghubungi terus Bahagian Perhubungan Awam dan Penyelidikan, Tingkat 2 Jabatan Daerah Belait di talian 3334335/6/7 sambungan 117/118 atau mengunjungi petak pendaftaran Larian Amal di Lobi Tingkat 1, Bangunan KBSentral Jalan Seri Maharaja Kuala Belait atau melayari laman Facebook Jabatan Daerah Belait www.facebook.com/jdbkhedn.

ARTIKEL YANG SAMA