Larian Amal MKM 31 Julai ini

Larian Amal MKM 31 Julai ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Larian Amal Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang dijadualkan diadakan pada 31 Julai ini, di Stadium Hassanal Bolkiah, Berakas akan ditunda kepada tarikh baru yang telah dicadangkan pihak MKM iaitu pada hari 23 Oktober 2016.

Pengerusi acara berkenaan, Haji Juhan bin Haji Tuah menjelaskan, setelah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri nanti, tarikh cadangan baru itu akan dimaklumkan kepada pihak orang ramai melalui media cetak, radio dan juga melalui kotak-kotak pameran promosi MKM yang dibuka di tempat-tempat seperi di hadapan jabatan Stadium Hassanal Bolkiah, Lantai Bawah Pusat Membeli-belah Time Square dan di ibu pejabat MKM.

Beliau menjelaskan mengenai perkara ini semasa sidang media yang telah berlangsung di Ibu Pejabat MKM, Kompleks Melabau, pagi tadi.

Menyentuh mengenai beberapa aspek teknikal dan keselamatan termasuklah perlawanan dan juga keselamatan peserta, beliau berkata, pihak MKM juga telah mengubah konsep perlawanan kepada yang lebih mudah dan tercapai iaitu daripada ‘MKM Orienteering Charity Run’ kepada ‘MKM Fun Run For Charity’.

Bergambar ramai bersama ahli-ahli MKM.
Bergambar ramai bersama ahli-ahli MKM.
Set baju T MKM Fun Run, Pingat, tuala muka yang akan diberikan kepada para peserta.
Set baju T MKM Fun Run, Pingat, tuala muka yang akan diberikan kepada para peserta.

Larian amal itu nanti akan dibukakan bagi penyertaan orang ramai dalam tiga kategori iaitu Kategori Larian 5km bagi peserta lelaki, Kategori larian 2.5km bagi peserta perempuan dan Kategori Larian Costume Run 2.5km.

Yuran penyertaan larian ini adalah $35 dan para peserta akan diberikan satu set baju T MKM Fun Run, Pingat, tuala muka dan juga sijil penyertaan.

Menurut beliau lagi, acara itu nanti akan diisikan dengan aktiviti zumba dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang teratas bagi setiap kategori dan para peserta juga berpeluang untuk membawa pulang hadiah-hadiah menarik melalui acara Dip & Win yang akan diadakan pada akhir acara tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat ingin ikut serta dalam larian amal itu bolehlah menghubungi talian 7146680 atau menghubungi pengurus acara di talian 8186848.

ARTIKEL YANG SAMA