Larian Amal ‘Sweat for Charity’ 23 Oktober

Larian Amal ‘Sweat for Charity’ 23 Oktober

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Untuk meningkatkan kesedaran tentang kehidupan sihat dan mengeratkan silaturahim di antara ahli-ahlinya serta orang ramai, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) Brunei akan mengadakan Larian Amal MKM 2016 dengan membawakan tema ‘Sweat for Charity’ pada 23 Oktober 2016.

Larian yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 5 kilometer untuk peserta lelaki; 2.5 kilometer untuk peserta wanita dan juga 2.5 kilometer untuk peserta pakaian beragam.

Orang ramai yang berminat untuk ikut serta boleh mendapatkan borang penyertaan di petak MKM di Times Square setiap hari, Jerudong Food Court, Petak MKM di Bukit Shahbandar setiap Jumaat dan Ahad serta Pejabat MKM di Blok C, Unit 23, Tingkat Bawah, Kompleks Melabau Serusop.

Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran $35, di mana pendaftaran akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Ahad. Pihak penganjur akan menawarkan hadiah menarik dan setiap peserta juga akan diberi kemeja-T, tuala muka, pingat dan sijil penyertaan.

Salah seorang ahli MKM, Dayang Hamidah ketika ditemu bual berkata, selain meningkatkan kesedaran tentang aktiviti sihat, acara larian ini juga bertujuan mengumpul dana MKM untuk menjalankan kerja-kerja amal.

Antara kerja-kerja amal yang sedang diungkayahkan seperti projek-projek berterusan dan projek-projek khas, seperti memberi bantuan makanan asasi kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan membantu para pelajar yang kurang berkemampuan.

Manakala projek-projek khas pula seperti bantuan kecemasan kewangan, membersihkan rumah yang usang dan rumah orang kurang upaya serta banyak lagi.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober pada jam 4 petang, dan untuk mendapatkan sebarang keterangan lanjut, boleh menghubungi hotline MKM di talian 7146680 atau 8186848.

ARTIKEL YANG SAMA