Larian amal WBC 1 Nov

Larian amal WBC 1 Nov

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Penggemar sukan larian bukan sahaja berpeluang menambah pingat dan pengalaman mereka malah berpeluang beramal membantu anak-anak yatim dengan menyertai Larian Amal anjuran Majlis Perniagaan Wanita (WBC) Brunei Darussalam pada 1 November 2015 ini.

Larian amal ini akan bermula dan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula jam 6.15 pagi dan dijangka disertai 3,000 peserta dari pelbagai peringkat umur.

Perkara ini dijelaskan oleh Yang Di-Pertua WBC Hajah Mordiah binti Haji Jackia pada sidang media hari ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Menurutnya, sebahagian daripada yuran pendaftaran larian akan disumbangkan ke Dana Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Larian amal ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu Kategori ‘A’ dan ‘B’ 10km Terbuka Lelaki dan Perempuan dengan yuran pendaftaran $35, Kategori ‘C’ dan ‘D’ 5km Terbuka Lelaki dan Perempuan dengan yuran pendaftaran $30 dan Kategori Fun Run, 3km dengan yuran pendaftaran $25 bagi setiap peserta.

Hajah Mordiah dan ahli komiti Larian Amal WBC bergambar bersama poster larian.
Hajah Mordiah dan ahli komiti Larian Amal WBC bergambar bersama poster larian.

“Dengan adanya sumbangan dari WBC ini, akan dapat membantu masa depan anak-anak yatim dalam bidang keusahawanan,” tambahnya.

Larian amal ini adalah yang julung kalinya dijalankan oleh WBC dengan slogan ‘Run For Our Orphans, Run For Their Future’

“Larian amal ini juga dibuka untuk penyertaan bagi orang kelainan upaya (OKU) dan pendaftaran mereka adalah percuma tapi mereka hendaklah ditemani oleh orang dewasa semasa larian.

Orang ramai yang berhasrat untuk ikut serta dalam larian ini boleh mendaftarkan diri bermula hari ini hingga 30 September 2015 di laman sesawang www.heroes.com.bn dan pembayaran boleh dibuat di Bilik Persidangan Bilik 1, Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 1 hingga 4 Oktober 2015 bermula jam 4 petang hingga 8 malam .

Di samping itu, peserta larian juga akan diberikan kad derma sebaik saja pembayaran dibuat selain diberikan kit larian semasa mengembalikan kad derma pada 30 dan 31 Oktober 2015.

Sementara itu, hadiah menarik juga disediakan untuk peserta larian iaitu berupa wang tunai, pingat penamat dan cabutan bertuah di mana peserta larian dalam kategori A, B, C dan D berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai.

Dalam usaha memeriahkan lagi larian amal ini, Bazar Amal juga akan diadakan sebelum acara perasmian larian iaitu pada 30 Oktober hingga 1 November 2015 di Ruang Letak Kereta, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Bazar Amal ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam yang akan disertai oleh para pengusaha dalam pelbagai bidang perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA