Larian bersama pelakon tempatan

Larian bersama pelakon tempatan

Oleh Faridah Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – QD’ Roses Event Management dengan kerjasama beberapa pelakon tempatan akan mengadakan larian yang akan bermula dan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 17 Januari 2016.

Acara julung-julung kali diadakan itu juga akan menawarkan peminat peluang untuk berjumpa, berkenalan dan merakamkan gambar (selfie) bersama pelakon kesayangan mereka.

Larian itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu HEPIRUN sejauh 18km dan HEPIRUN sejauh 24km terbuka untuk lelaki dan perempuan dengan yuran pendaftaran $30 seorang. Setiap peserta akan menerima baju-T dan sijil penyertaan.

Penyertaan dibukakan kepada semua peringkat umur termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Bagi mendapat lebih banyak hadiah, peserta larian dinasihatkan membawa telefon bimbit untuk merakamkan gambar bersama para pelakon tanah air, sekurang-kurangnya lima orang pelakon dan menunjukkan kepada penganjur sejurus tiba di garisan penamat.

Di antara pelakon Brunei yang bakal menyertai larian itu nanti ialah Pengiran Hajjah Maskuin binti Pengiran Haji Mohammad, Awang Serudin bin Haji Damit, Dang Limah, Roslee HM, Haji Saini, Neldy, Suzimin, Faridah Haji Ibrahim, Rabi, Aisma Salleh, Mimi Rahzia, Rosman, Gilin dan ramai lagi.

Pelakon Neldy dan Dang Limah (kanan) antara yang menyertai larian itu.
Pelakon Neldy dan Dang Limah (kanan) antara yang menyertai larian itu.

Larian ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan sejak dari muda lagi, memperkenalkan para pelakon tanah air yang setanding dengan bakat pelakon luar negara, memberi peluang kepada orang ramai untuk berjumpa dan berkenalan dengan mereka, dan menyatukan pelakon lama dan baru untuk mengeratkan silaturrahim.

Borang penyertaan boleh didapati di QD Roses Event Management, No. 27, Simpang 55-22, Jalan Tanjong Kudos, Perpindahan Panchor Mentiri atau memuat turun dari laman Facebook Berlari dengan Pelakon Brunei, dan boleh juga didapati dari Bego Hazirul Stadio Production di Simpang 11, Unit 10, 1st Floor, Zainuddin Complex atau di Aisma Aisha Songkon Craft Boutique, Block C, No.8, Beribi Industrial Complex, Jalan Gadong. Untuk keterangan lanjut, bolehlah menghubungi Roslee HM di talian 8875505 dan 8225505.

Tarikh akhir menyerahkan borang penyertaan ialah pada 6 Disember 2015.

ARTIKEL YANG SAMA