Larian Cabaran Bukit Markucing empat hari lagi

Larian Cabaran Bukit Markucing empat hari lagi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Penggemar cabaran dan riadah dialu-alukan untuk membuat pendaftaran Larian Cabaran Bukit Markucing 2016 dengan segera sebelum tarikh tutup pada 8 Mei 2016.

Mereka yang ingin mendapatkan borang penyertaan secara atas talian boleh berbuat demikian dengan menghantar e-mel ke alamat m.p.kg.belimbing@gmail.com, kata Ketua Biro Belia dan Sukan MPK Kampung Belimbing selaku Urus Setia Larian Cabaran Bukit Markuching, Awang Yusrey bin Haji Gapor/Haji Mohd Daud.

Ketika ditemui di Galeri Tasik Sarubing hari ini, Awang Yusrey berkata, bagi memudahkan orang ramai, penyerahan borang pendaftaran boleh dibuat di Galeri Tasik Sarubing atau menyerahkannya terus ke rumah Ketua Kampung Belimbing di alamat 465, Kampung Belimbing, Jalan Subok.

Pada pertemuan itu juga beliau mempamerkan dua baju-T yang akan diedarkan bersama bib nombor peserta kepada para peserta pada 27 dan 28 Mei, iaitu sehari sebelum acara berlangsung pada 29 Mei. Katanya, baju-T berwarna hijau adalah bagi peserta larian 5.7 kilometer sementara baju-T berwarna biru adalah bagi kategori larian sejauh 3.3 kilometer.

Lima kategori larian bagi lelaki ialah Kategori A Lelaki Berumur 7 hingga 12 Tahun, Kategori B Lelaki Berumur 13 hingga 25 Tahun, Kategori C Lelaki Berumur 40 hingga 55 Tahun, Kategori D Lelaki Berumur 56 Tahun Ke Atas dan Kategori E Lelaki Terbuka Tanpa Had Umur.

Awang Yusrey menunjukkan baju-T bagi kedua-dua peringkat umur penyertaan.
Awang Yusrey menunjukkan baju-T bagi kedua-dua peringkat umur penyertaan.

Sementara lima kategori larian bagi wanita termasuk Kategori A Wanita Berumur 7 hingga 12 Tahun, Kategori B Wanita Berumur 13 hingga 25 Tahun, Kategori C Wanita Berumur 40 hingga 55 Tahun, Kategori D Wanita Berumur 56 Tahun Ke Atas dan Kategori E Wanita Terbuka Tanpa Had Umur.

Menurutnya, jarak larian bagi peserta kategori A dan D untuk lelaki dan wanita ialah 3.3 kilometer manakala jarak larian bagi Kategori B, C dan E untuk lelaki dan wanita ialah 5.7 kilometer.

Beliau menjelaskan pada perlumbaan tahun ini juga pihak penganjur telah memperkenalkan penggunaan gelang bagi para peserta dan akan diperiksa semula di garisan penamat.

“Setiap peserta bagi perlumbaan jarak 3.3 kilometer akan diberikan gelang di titik pemeriksaan 10 manakala peserta bagi jarak larian 5.7 kilometer menerima gelang penyertaan masing-masing setelah berjaya sampai di titik pemeriksaan 9,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan mereka yang berminat dengan melengkapkan borang penyertaan khas yang boleh didapati di Galeri Taman Riadah Tasik Sarubing atau di rumah Ketua Kampung Belimbing atau menghubungi hotline Cabaran Larian Bukit Markucing di talian 8119444, Awang Yusrey di talian 8918593, Awang Daud di talian 8922286 dan Awangku Zainal di talian 8918592.

ARTIKEL YANG SAMA