Larian, ekspe...

Larian, ekspedisi berbasikal sempena Hari Habitat Sedunia 2017

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Bersempena dengan Hari Habitat Sedunia 2017, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan akan mengadakan Larian dan Ekspedisi Berbasikal Amal pada 5 Mac 2017 depan.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dan pendaftarannya telah dibuka bermula 19 Disember 2016 lalu hingga 14 Januari ini, bagaimanapun ia terhad kepada 1,000 penyertaan sahaja.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun menerusi laman sesawang http://q-r.to/bahkha atau melalui media sosial Facebook di habitat.bn dan juga Instagram habitatbn.hdd.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar di Tingkat 4, Jabatan Kemajuan Perumahan dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Beberapa kategori akan dipertandingkan termasuk Kategori Separa Maraton Lelaki dan Perempuan Terbuka 21 Kilometer, Kategori Separa Maraton 21 Kilometer Lelaki dan Perempuan Veteran bagi yang berumur 45 tahun ke atas, Kategori ‘Run’ Lelaki dan Perempuan Terbuka 5 Kilometer, Kategori ‘Fun Run’ Lelaki dan Perempuan 3.5 Kilometer dan ekspedisi berbasikal 42 kilometer.

Aktiviti amal yang terbuka kepada semua penggemar larian dan aktiviti berbasikal serta orang awam itu dijangka akan dimulakan di Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Perumahan, Lapangan Terbang Lama Berakas bermula jam 6:30 pagi.

Ia antara lain bertujuan untuk memupuk budaya gaya hidup sihat dan sentiasa bergiat aktif di samping memberikan pendedahan awal kepada belia-belia muda terhadap pentingnya mempunyai kehidupan yang sihat untuk masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA