Larian Hari Keputeraan 2016

Larian Hari Keputeraan 2016

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Larian Hari Keputeraan 2016 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 pada tahun ini akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada 18 September nanti.

Di Daerah Brunei dan Muara, ia akan diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Daerah Belait di Kompleks Sukan Mumong; Daerah Tutong di Kompleks Sukan Tutong; dan Daerah Temburong di Kompleks Sukan Temburong.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam acara larian berkenaan iaitu Kategori Lelaki Terbuka 18 Tahun ke atas (lahir pada tahun 1998 ke bawah) dengan jarak 10km; Kategori Wanita Terbuka 18 Tahun ke atas (lahir pada tahun 1998 ke bawah) juga dengan jarak 10km; Kategori Lelaki Veteran 45 Tahun ke atas (lahir pada tahun 1971 ke bawah) dengan jarak 10km (diadakan di Daerah Brunei dan Muara sahaja); Kategori Wanita Veteran 45 Tahun ke atas (lahir pada tahun 1971 ke bawah) dengan jarak 10km (diadakan di Daerah Brunei dan Muara sahaja); Kategori Lelaki Veteran 70 Tahun (lahir pada tahun 1946) dengan jarak 3km (diadakan di Daerah Brunei dan Muara sahaja); Kategori Wanita Veteran 70 Tahun (lahir pada tahun 1946) dengan jarak 3km (diadakan di Daerah Brunei dan Muara sahaja); Kategori Remaja Lelaki 17 Tahun ke bawah (lahir pada tahun 1999 ke atas) dengan jarak 5km; Kategori Remaja Perempuan 17 Tahun ke bawah (lahir pada tahun 1998 ke bawah) dengan jarak 5km; dan Kategori Fun Run Terbuka sejauh 3km.

Sementara itu, terdapat juga kategori-kategori bagi peserta-peserta berkeperluan khas iaitu Kategori Orang Berkeperluan Khas Lelaki dan Wanita (OBK) (Hearing and Intellectual Disability) dengan jarak 3km yang akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara sahaja.

Hadiah-hadiah menarik menanti para pemenang bagi kategori-kategori yang dipertandingkan di mana pemenang pertama, kedua dan ketiga Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka 18 Tahun ke atas di kesemua daerah masing-masing menerima wang tunai $500, $300 dan $200 berserta pingat dan sijil penyertaan.

Kategori Lelaki dan Wanita Veteran 45 Tahun ke atas akan menerima $500 bagi tempat pertama, $300 tempat kedua dan $200 bagi tempat ketiga berserta pingat dan sijil penyertaan; Kategori Lelaki dan Wanita Veteran 70 Tahun (lahir pada 1946) akan menerima $200 bagi tempat pertama, $150 bagi tempat kedua dan $100 bagi tempat ketiga berserta pingat dan sijil penyertaan.

Kategori Remaja Lelaki dan Perempuan 17 Tahun ke bawah akan menerima $300 bagi tempat pertama, $200 bagi tempat kedua dan $100 bagi tempat ketiga berserta pingat dan sijil penyertaan.

Manakala itu, bagi Kategori Orang Berkeperluan Khas masing-masing akan menerima $150 bagi tempat pertama, $100 tempat kedua dan $50 bagi tempat ketiga berserta pingat dan sijil penyertaan.

Acara larian itu dibukakan penyertaannya kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna ungu dan hijau yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Setiap peserta hanya dibenarkan menyertai satu kategori sahaja dan bagi kategori terbuka dan remaja, peserta hendaklah mendaftar mengikut daerah menerusi alamat dalam kad pengenalan masing-masing.

Peserta bawah umur 17 tahun hendaklah mendapat kebenaran daripada ibu bapa/penjaga. Yuran penyertaan adalah $15 setiap seorang.

Para peserta yang berminat menyertai acara larian berkenaan, diingatkan bahawa pendaftaran larian akan mula dibukakan pada 30 Julai hingga 27 Ogos bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi dan dari pukul 2 petang hingga 3.30 petang.

Borang penyertaan boleh didapati di Urus Setia Larian Hari Keputeraan, Bahagian Sukan, Tingkat 6, Jabatan Belia dan Sukan serta kompleks-kompleks sukan dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan daerah-daerah.

Pembayaran pendaftaran bolehlah dibuat tidak lewat 27 Ogos 2016 dan borang yang lengkap berserta yuran pendaftaran hendaklah dihantar di Urus Setia Larian Hari Keputeraan, Bahagian Sukan, Tingkat 6, Jabatan Belia dan Sukan dan cawangan JBS di daerah-daerah pada waktu dan hari bekerja sahaja.

Sementara itu, pengambilan baju-T dan nombor bib bagi larian berkenaan akan diadakan selama tiga hari pada 14, 15 dan 17 September, bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi dan dari pukul 2 petang hingga 4 petang bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan Jabatan Belia dan Sukan di daerah-daerah.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan di talian 2381903/4/5 sambungan 1616/1633.

ARTIKEL YANG SAMA