Larian Hari Keputeraan 30 Ogos

Larian Hari Keputeraan 30 Ogos

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait akan menganjurkan Larian Hari Keputeraan 2015 sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 Peringkat Daerah Belait pada 30 Ogos di Kompleks Sukan Mumong, di sini bermula jam 6:30 pagi.

Larian tersebut dibahagikan kepada lima kategori iaitu 10km Terbuka Lelaki dan Wanita 18 tahun ke atas, 5km Remaja Lelaki dan Perempuan 17 tahun ke bawah dan Fun Run 3km.

Lebih 400 orang telah mendaftar di mana 109 untuk Terbuka Lelaki, 64 orang untuk Terbuka Wanita, 30 orang remaja lelaki 17 tahun ke bawah, 13 orang untuk remaja perempuan 17 tahun ke bawah dan 244 orang untuk Fun Run.

Larian 10km dijangka akan bermula dari Kompleks Sukan Mumong, keluar melalui Jalan Singa Menteri kemudian belok ke kiri menuju Jalan Maulana seterusnya belok ke kanan ke Jalan Utara Panaga hingga Lorong 14 Barat, menuju keluar ke kanan Jalan Tengah Seria terus ke Jalan Singa Menteri dan berakhir di Kompleks Sukan Mumong.

Larian 5km pula akan bermula dari Kompleks Sukan Mumong menuju Jalan Singa Menteri belok ke kiri menuju Jalan Maulana, kemudian belok menuju Jalan Utara Panaga masuk Persimpangan 511 dan keluar ke kanan menuju Jalan Tengah Seria seterusnya ke Jalan Singai Menteri dan berakhir di Kompleks Sukan Mumong.

Manakala larian 3km pula akan bermula dari Kompleks Sukan Mumong, keluar melalui Jalan Singa Menteri, belok ke kiri menuju Jalan Maulana, seterusnya belok ke kiri, masuk Jalan Pandan 8, keluar ke kiri menuju Singa Menteri dan berakhir di Kompleks Sukan Mumong.