Larian Hari Keputeraan 4 Sept ini

Larian Hari Keputeraan 4 Sept ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Larian Hari Keputeraan 2016 yang sepatutnya diadakan pada 18 September 2016 kini diubah dan diawalkan tarikhnya kepada 4 September 2016 di keempat-empat daerah.

Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi Daerah Brunei dan Muara ia akan diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Daerah Belait di Kompleks Sukan Mumong dan Daerah Tutong di Kompleks Sukan Tutong manakala bagi Daerah Temburong, ia akan diadakan di Kompleks Sukan Batu Apoi.

Tempat pendaftaran bagi Daerah Brunei dan Muara dipindahkan ke Bilik Media, Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula Isnin, 22 Ogos 2016 pada jam 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang sehingga 3:30 petang. Borang lengkap serta yuran pendaftaran $15 setiap seorang hendaklah dihantar selewat-lewatnya pada Sabtu, 27 Ogos 2016 sebelum jam 3:30 petang.

Sementara pengambilan baju-T dan nombor bib bagi larian tersebut akan diadakan pada hari Sabtu, 3 September 2016 bermula jam 9 pagi hingga 3:30 petang di Bilik Media, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan Jabatan Belia dan Sukan di daerah-daerah lain.

Larian Hari Keputeraan 2016 anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70.

Untuk pertanyaan atau keterangan lanjut mengenai larian tersebut, bolehlah menghubungi Urus Setia Larian Hari Keputeraan 2016, Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan di talian 2381903/4/5 sambungan 1616/1633 atau layari laman web rasmi jabatan di http://www.belia-sukan.gov.bn/Program-Sukan/LHK2016.

ARTIKEL YANG SAMA