Larian Hari Keputeraan 4 Sept ini

Larian Hari Keputeraan 4 Sept ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Salah satu acara larian yang dinanti-nantikan iaitu Larian Hari Keputeraan 2016 yang disempenakan dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun akan berlangsung pada 4 September nanti.

Acara larian itu dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di mana ia akan bermula pada pukul 6:30 pagi di keempat-empat daerah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, hari ini, larian itu bertujuan antara lain ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pewujudan warga sihat dan sebagai salah satu usaha untuk membantu mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Acara larian itu akan diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bagi Daerah Brunei dan Muara, Taman Persiaran Jalan Sungai Kuala Belait bagi Daerah Beliat, Kompleks Sukan Tutong bagi Daerah Tutong dan Padang Dewan Kemasyarakatan Bangar bagi Daerah Temburong.

Sementara itu, bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendaftar, mereka juga dialu-alukan hadir untuk menyertai dan meramaikan lagi Larian Hari Keputeraan di keempat-empat daerah pada hari itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA