Larian Ikhlas berjaya kutip $17,830

Larian Ikhlas berjaya kutip $17,830

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Hampir 2,000 orang telah menyertai Larian Ikhlas Dengan Warna anjuran SEAMEO VOCTECH, bertema ‘Run, Share and Care’ yang bermula dan berakhir di kawasan letak kereta Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Sesuai dengan namanya, dalam larian ini, para peserta telah dilontarkan dengan serbuk warna yang menambahkan lagi keceriaan yang dapat dilihat pada wajah peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melepaskan para peserta larian sejauh lima kilometer ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Sementara itu, pelepasan peserta larian sejauh tiga kilometer pula telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Menerusi larian amal berkenaan, sejumlah $17,830 telah berjaya dikutip dan diserahkan kepada Inisiatif Bantuan Pelajar Berkeperluan Khas (IKHLAS), Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dan Majlis Paralimpik Brunei pada majlis yang diadakan di Stadium Tertutup selepas acara larian.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa hadir dan merasmikan larian lima kilometer.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa hadir dan merasmikan larian lima kilometer.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan replika cek kepada Awang Mohd Zain.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan replika cek kepada Awang Mohd Zain.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan replika cek kepada Pengiran Sarimah bagi pihak inisiatif IKHLAS.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan replika cek kepada Pengiran Sarimah bagi pihak inisiatif IKHLAS.

Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan penyampaian cek berjumlah $12,480 kepada Ketua Unit Pendidikan Khas, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad selaku wakil Inisiatif IKHLAS dan cek berjumlah $5,350 kepada Bendahari Majlis Paralimpik Brunei, Awang Mohd Zain bin Haji Muhammad.

Inisiatif IKHLAS merupakan kerjasama dengan Unit Pendidikan Khas yang bertujuan untuk membantu memberikan keperluan kepada pelajar-pelajar istimewa.

Majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan oleh pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pendengaran, penyampaian sijil kepada para penaja dan cabutan bertuah bersama para peserta.

Larian amal ini merupakan salah satu aktiviti sempena Ulang Tahun Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke-50 tahun dan ulang tahun Penubuhan Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH) ke-25 tahun.

Persembahan daripada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pendengaran.
Persembahan daripada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pendengaran.

pg05_151116_c

Para peserta yang dilontarkan serbuk warna kelihatan gembira menyertai larian warna ini.
Para peserta yang dilontarkan serbuk warna kelihatan gembira menyertai larian warna ini.

pg05_151116_e

Pemangku Pegawai Kanan Pendidikan, Unit Pendidikan Khas, Awang Salim bin Haji Puteh semasa ditemui pihak media menjelaskan bahawa Jawatankuasa IKHLAS telah ditubuhkan pada tahun 2012 untuk menyelaras bantuan berupa peralatan khas dan sumber pembelajaran khusus bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dana yang berjaya dikutip menerusi larian amal berkenaan akan digunakan untuk membeli peralatan-peralatan khas yang khusus bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Beliau turut melahirkan perasaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan daripada pihak-pihak persendirian, organisasi bukan kerajaan dan lain-lain.

Beliau berharap lagi dengan adanya sumber-sumber dan peralatan pembelajaran ini akan dapat membantu seramai 737 orang pelajar berkeperluan khas setakat ini untuk belajar dalam persekitaran sekolah yang inklusif.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa IKHLAS akan mengadakan ‘Fun for Funds’ pada 28 dan 29 November ini di Atrium, The Mall Gadong yang dihasratkan untuk mengutip dana bagi IKHLAS. Acara ini nanti akan menampilkan gerai jualan dan aktiviti menarik bagi para pengunjung.

ARTIKEL YANG SAMA