Larian kumpul dana anak yatim JAPEM

Larian kumpul dana anak yatim JAPEM

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dalam usaha mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), satu larian amal akan diadakan pada 6 Februari depan.

Larian Sparkling Night yang julung-julung kali diadakan bagi organisasi itu, anjuran Arissya FitnessZone itu akan bermula pada jam 7:45 malam dan setakat ini sudah pun menerima penyertaan 800 orang, menurut Pengurus Besar Arrisya FitnessZone, Mimie Suraya binti Haji Hussain semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Goldiana VIP, Hotel Orchid Garden hari ini.

“Kami berharap akan respons positif masyarakat untuk menjayakan larian yang bakal dibahagikan kepada 3 kategori iaitu 7km, 5km dan 3km dan pendaftaran akan dibuka sehingga 20 Januari 2016 dan boleh mendaftar di dalam talian melalui alamat http://goo.gl/forms/Xw7SrRYSsp,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan mengenai jerayawara yang akan diadakan selama tiga hari bermula pada 15 hingga 17 Januari ini secara serentak di Pusat Belia di Daerah Brunei dan Muara, Belait dan Tutong bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Pada masa yang sama, jerayawara seumpamanya juga turut diadakan di kawasan letak kereta, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas bermula pada jam 4 petang hingga 7 malam dan bagi mereka yang berhasrat menyertai larian berkenaan, bolehlah membuat pendaftaran semasa jerayawara tersebut diadakan.

Antara pengisian aktiviti semasa acara larian itu nanti adalah zumba dan u jam fitness.

Menurutnya lagi, pihak penganjur telah menyasarkan seramai 2,000 orang peserta akan menyertai larian berkenaan dan menegaskan semua kutipan akan disalurkan terus kepada JAPEM.

Turut hadir ke persidangan tersebut ialah Pengurus Projek Arrisya Fitnesszone, Hajah Zainab binti Haji Ali.

ARTIKEL YANG SAMA