Larian Malam PKS LiveWIRE 28 Nov ini

Larian Malam PKS LiveWIRE 28 Nov ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Kira-kira 500 orang peserta akan berkumpul untuk menyertai Larian Malam PKS LiveWIRE yang bakal berlangsung di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria pada malam 28 November nanti di mana larian itu menandakan kali keempat acara itu dijalankan hasil kerjasama daripada Rangkaian Perniagaan LiveWIRE Brunei (LWBN) dan OGDC.

Acara larian itu, dijadualkan akan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Ali bin Matyassin dengan hasrat untuk menyokong dan mempromosikan acara Promosi PKS LiveWIRE ke-7 yang bermula dari 27 hingga 29 November nanti.

Perlepasan bagi larian kategori 2.5 kilometer dan 10 kilometer akan bermula dari OGDC di mana larian 10 kilometer bagi peserta lelaki dan perempuan akan dilepaskan pada pukul 8.25 malam dan mereka akan menuju ke Tugu Peringatan Billionth Barrel dan menghala ke Ibu Pejabat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd sebelum berpusing kembali ke OGDC.

Sementara itu, bagi Kategori Larian 2.5 kilometer Terbuka, para peserta akan membuat larian menuju ke Tugu Peringatan Billionth Barrel sebelum berpusing kembali ke OGDC.

Pihak penganjur mengingatkan orang ramai bahawa jalan raya di kawasan berkenaan akan ditutup bermula dari pukul 8 malam hingga 10:30 malam dan tempat letak kereta bagi para peserta adalah di sekeliling kawasan Pusat Insani Seria dan OGDC.

Sementara itu, majlis penyampaian hadiah juga akan diadakan selepas acara larian bagi mengakhiri acara Larian Malam PKS berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, Promosi PKS LiveWIRE ke-7 akan dirasmikan oleh Setiausaha tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi pada 27 November.

Pengarah Program LiveWIRE, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas dipetik berkata bahawa sejak acara promosi itu mula diadakan pada 2006, jumlah penyertaan dalam kejohanan itu terus meningkat di mana acara yang diadakan pada 2014, sebanyak 175 penyertaan telah dicatatkan, yang diadakan di Stadium Tertutup, Bandar Seri Begawan.

Pada promosi ke-7 yang akan diadakan itu, sebanyak 80 usahawan tempatan yang terdiri daripada para usahawan keempat-empat buah daerah termasuk perusahaan yang berdaftar dengan majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Belait dan juga Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES) yang berdaftar di bawah LiveWIRE Brunei akan mengetengahkan produk-produk mereka semasa Bazar PKS yang dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu dan dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang pada Ahad nanti.

Salah satu lagi acara tarikan semasa promosi PKS itu nanti ialah sesi forum dan dialog mengenai sistem akuaponik dan hidroponik yang akan disampaikan oleh penceramah undangan dari Taiwan iaitu Pengasas Go-Change Limited, Shih-Ming Huang.

Di samping itu, acara-acara menarik lain yang bakal diadakan termasuk perlawanan tarik kalat, pertunjukan kereta dan motosikal, pertunjukan seni mempertahankan diri, Siuknya Sains, Rumah Pusaka dan peraduan mewarna.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung bersama keluarga untuk menyaksikan sendiri produk-produk yang ditawarkan oleh usahawan tempatan dan pada masa yang sama berpeluang untuk beriadah bersama keluarga.

Promosi PKS LiveWIRE ke-7 dianjurkan bersama oleh LiveWIRE Brunei, OGDC dan Pejabat Daerah Belait dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kuala Belait, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Belait.

LiveWIRE Brunei merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di lebih 23 buah negara di seluruh dunia.

Ia ditaja sepenuhnya dan merupakan projek pembangunan komuniti utama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd yang bermatlamat untuk menyumbang kepada komuniti Brunei dengan meningkatkan kesedaran perlunya untuk mempelbagaikan ekonomi negara dengan penyertaan dalam kegiatan perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA