Larian Reben Merah 10 April

Larian Reben Merah 10 April

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Usaha terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai isu dan stigma berhubung HIV/AIDS di mana Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) melaksanakan pelbagai program untuk menyebarkan maklumat serta meningkatkan kesedaran isu berkenaan secara lebih efektif.

Dalam hubungan itu, BDAC mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Larian Reben Merah 2016 (RRR 2016) sebagai salah satu platform dalam program-program kesedaran yang dilaksanakan oleh BDAC untuk meningkatkan penyebaran maklumat berguna mengenai HIV/AIDS.

Larian Reben Merah 2016 akan diadakan pada 10 April bermula dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi di Pusat Promosi Kesihatan di mana larian itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu larian 3 kilometer dan larian 5 kilometer dengan pendaftaran bagi menyertai acara larian itu dibuka bermula 22 Februari.

Pengumuman mengenai larian itu dibuat oleh Pengerusi RRR, Dayang Noor Auji binti Mohammad Harunthmarin dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pemangku Pengerusi RRR, Dayang Sheila Azalina binti Abang Razali, Timbalan Pengerusi RRR, Dayangku Raudah binti Pengiran Haji Saifuddin, wakil-wakil dari BDAC, Pusat Promosi Kesihatan, Fitness Zone, Heroes Event Management serta para penaja larian.

Pihak penganjur dan wakil-wakil penaja bergambar ramai selepas sidang media mengenai Larian Reben Merah 2016.
Pihak penganjur dan wakil-wakil penaja bergambar ramai selepas sidang media mengenai Larian Reben Merah 2016.

Larian anjuran BDAC itu dikendalikan oleh pelajar-pelajar tahun ketiga dari Universiti Brunei Darussalam yang melaksanakan program penempatan mereka di bawah BDAC bagi tahun Discovery Year mereka di mana larian itu dikendalikan bersama dengan sokongan Pusat Promosi Kesihatan dan Heroes Event Management.

Menurut Dayang Noor Auji lagi, bagi larian 3 kilometer, bayaran yang dikenakan adalah $30 dan bagi larian 5 kilometer pula sebanyak $35 di mana para peserta akan menerima sehelai baju kemeja-T Dri-Fit, bib, pingat, pas percuma tiga hari ke FitnessZone tajaan Fitness Zone dan juga akan menjadi sebahagian daripada Reben Bentuk Khas Larian Reben Merah.

Pendaftaran bagi larian itu boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang www.heroes.com.bn bermula 22 Februari hingga 27 Mac.

Pada sidang media itu, Dayangku Raudah menjelaskan bahawa larian itu diharap dapat menjadi salah satu pelantar bagi menyebarkan maklumat mengenai AIDS dan HIV serta perkara-perkara berkaitan dengannya termasuk mengenai penyalahgunaan dadah, stigma serta diskriminasi mengenai penyakit berkenaan kepada semua peserta larian berkenaan.

Beliau juga berkata larian itu merupakan salah satu acara untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS bukan sahaja kepada para peserta larian tetapi juga kepada orang ramai melalui penyebaran maklumat mengenai larian berkenaan atau mesej yang disampaikan menerusi media sosial.

Di samping itu, hasil kutipan daripada acara larian berkenaan akan digunakan untuk memperbaiki lagi program-program kesedaran yang sedang dilaksanakan dalam menangani dan mengurangkan stigma mengenai isu berkenaan.

Bagi para penaja yang ingin menyalurkan sumbangan atau tajaan kepada acara berkenaan, mereka boleh menghubungi Dayangku Raudah di talian 8993438 atau Dayang Sheila Azalina di talian 8769685 atau e-mel ke redribbonrun.bdac@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA