Larian Wanita 17 April ini

Larian Wanita 17 April ini

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2016, Persatuan Siswazah Wanita (PSW) akan mengadakan Larian Wanita 2016 bertema ‘Lets Walk/Run Ladies’ pada 17 April depan yang akan bermula dan berakhir di The Colannade, Jerudong.

Larian yang merupakan salah satu daripada projek PSW sempena menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2016 ini bertujuan untuk menyatukan semua persatuan wanita khasnya dan wanita-wanita lain umumnya dalam satu kegiatan beriadah. Selain itu, ia juga bagi memupuk semangat untuk terus berjaya dalam iklim pembangunan negara, di samping menambah tabung kewangan PSW untuk mengadakan beberapa acara ilmiah dan membiayai program-program kebajikan PSW seperti membantu kanak-kanak susah dan keluarga berkeperluan.

Larian akan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori 10km dengan bayaran penyertaan sebanyak $35, Kategori 5km dengan bayaran $30 dan Kategori 3km dengan bayaran $25.

Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 3 April 2016 Jam 5 petang, yang mana setiap pendaftaran hendaklah dibuat kepada akaun PSW di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bernombor 00-015-01-0037568. Pembayaran boleh dibuat melalui mesin ATM, tunai atau cek.

Kutipan bayaran dan pengagihan kit larian juga akan diadakan pada 6 hingga 9 April mulai jam 4 petang hingga 6 petang di depan pintu masuk Pejabat Stadium Negara Hassanal Bolkiah berdekatan dengan Restoran Stadium.

Bagi yang membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian, peserta haruslah sertakan resit asal bayaran pendaftaran bersama borang pendaftaran untuk mendapatkan kit larian.

Pendaftaran dan maklumat mengenai penyertaan boleh didapati dengan melayari laman Facebook Persatuan Siswazah Wanita. Sebarang pertanyaan boleh menghantar e-mel ke alamat pswlarian2016@gmail.com.

Dalam larian ini, pelbagai hadiah yang menarik dan hadiah-hadiah sagu hati turut disediakan, bukan sahaja untuk para pemenang, tetapi juga untuk cabutan bertuah.

Larian Wanita 2016 itu nanti akan dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan sesi senamrobik sebelum larian bermula pada jam 6:30 pagi.