Larian warna amal Royal Bees 22 Mei lebih menarik

Larian warna amal Royal Bees 22 Mei lebih menarik

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Larian warna amal untuk Royal Bees tahun ini akan lebih menarik apabila pihak penganjur akan menyediakan serbuk warna untuk ditaburkan ke atas para peserta di zon pembuangan warna.

“Zon pembuangan warna akan dilakukan pada 200 meter sebelum garisan penamat di mana dalam larian itu, peserta juga diberikan peluang untuk memilih laluan warna atau laluan biasa”.

Perkara ini dijelaskan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA), Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili selaku pengerusi larian berkenaan pada sidang media yang berlangsung di Restoran Stadium, di sini, hari ini.

Pada sidang media bersama penaja larian itu, beliau seterusnya menjelaskan, larian yang akan diadakan pada 22 Mei 2016 nanti antara lain bertujuan mengumpul dana untuk BNA.

Larian tersebut dihadkan kepada 1,000 penyertaan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori ‘A’ bagi larian sejauh lima kilometer bagi peserta lelaki dan wanita yang berumur 12 tahun ke atas.

Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar bersama ahli BNA yang lain menunjukkan Poster Larian Warna A mal Royal Bees.
Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar bersama ahli BNA yang lain menunjukkan Poster Larian Warna A mal Royal Bees.

Manakala itu, Kategori ‘B’ pula adalah larian dan berjalan bebas sejauh 2.5 kilometer bagi semua peringkat umur manakala yuran bagi kategori ‘A’ dan ‘B’ adalah $35 dan $30.

Beliau seterusnya menambah, larian akan bermula dan berakhir di Dewan Serba Guna Stadium Tertutup Berakas dan acara pelepasan bermula pada pukul 7 pagi di mana peserta juga akan mengikuti acara zumba sebelum berlepas mengikut kategori masing-masing.

Sehubungan itu, BNA mengalu-alukan penyertaan dan sokongan orang ramai terhadap larian amal ini dan orang ramai yang berminat bolehlah mendaftar dengan memuat turun borang di Facebook BNA atau mendapatkan salinan borang di Pejabat Pentadbiran kaunter depan Stadium Tertutup.

“Sementara itu, pembayaran penyertaan boleh dibuat melalui akaun Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam di BIBD dengan nombor akaun 00-014-01-0009123 atau berkunjung ke Stadium Tertutup, Berakas di ruang legar tingkat 1, Zon 4,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kit larian boleh diambil pada 19 hingga 21 Mei 2016 bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali hari Jumaat yang akan ditutup pada pukul 11:30 pagi hingga 2:30 petang.

Peserta yang berjaya membuat pendaftaran akan menerima pek perlumbaan yang mengandungi baju T, nombor perlumbaan, ‘rainbow sunglass’, pingat eksklusif dan sijil penyertaan.

ARTIKEL YANG SAMA