LARIS dapat diakses hari ini

LARIS dapat diakses hari ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah (Land Application and Registration Information System – LARIS) akan mula digunakan secara percubaan bermula esok (17 Februari) sehingga 28 Februari nanti.

Sehubungan itu, Pelancaran Sistem LARIS telah diadakan hari ini di Ruang Legar, Kementerian Pembangunan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Pemangku Pesuruhjaya Tanah, Haji Ali Bakar bin Haji Kasim, setiausaha-setiausaha tetap, para pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Sistem LARIS ini akan membantu memudahkan menjalankan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dan juga untuk memberi pemilik tanah dan pembeli berpotensi kemudahan untuk menjalankan urus niaga yang berkaitan dengan tanah secara online.

Di samping itu, sistem ini juga membolehkan pemilik tanah mengakses secara online kepada maklumat mengenai tanah mereka dan mendapatkan kebenaran untuk memindah milik tanah.

Dato Paduka Haji Suhaimi semasa melancarkan Sistem LARIS.
Dato Paduka Haji Suhaimi semasa melancarkan Sistem LARIS.

Selain daripada permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk memiliki tanah, sistem ini turut menyediakan pemilik tanah untuk membuat permohonan secara online bagi mendapat kebenaran untuk menyambung tempoh pajakan, permohonan tukar syarat khas tanah, pendaftaran gadaian dan pendaftaran pajakan tanah secara persendirian.

LARIS.gov.bn boleh diakses melalui portal e-Darussalam di mana sebelum mengakses sistem berkenaan, para pengguna dikehendaki untuk mendaftar akaun e-Darussalam dan semua permohonan memerlukan dokumen-dokumen yang disertakan untuk diimbas dan dimuat naik untuk disertakan bersama permohonan berkenaan.

Sepanjang tempoh percubaan, jerayawara-jerayawara mengenai sistem LARIS dan taklimat akan diadakan di keempat-empat daerah bagi memberikan peluang untuk mengemas kini data peribadi mereka di tempat-tempat yang telah disediakan.

Jerayawara LARIS di Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada 18 Februari di Dewan Muhibah, Bandar Seri Begawan, manakala di Daerah Tutong pula akan diadakan di Petani Mall, Tutong pada 20 Februari.

Sementara itu, pada 22 Februari, jerayawara LARIS akan mengambil tempat di Dewan Bandaran Belait dan pada 24 Februari pula di Kompleks Perniagaan Bumi Putera bagi Daerah Temburong.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyaksikan sistem tersebut secara lebih dekat semasa jerayawara itu diadakan dan pemohon juga dapat mendaftar ke e-Darussalam dan menjelaskan pembayaran cukai tahunan tanah.

Dengan memperkenalkan LARIS ini, sistem pengurusan dan pentadbiran tanah dijangka akan bertambah baik dan juga dapat mengurangkan masa yang diambil untuk mendapatkan kebenaran yang diperlukan bagi permohonan berkaitan tanah.

Untuk kemudahan, permohonan juga boleh dibuat di lokasi awam tertentu di Business Help Desk, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi dan di kesemua cawangan daerah Jabatan Tanah di mana komputer dan pengimbas disediakan untuk kegunaan awam apabila sistem ini dilancarkan secara rasmi nanti.

Sistem LARIS ini telah dimajukan dengan kerjasama di antara Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Brunei Solutions Development Centre (BSDC) di bawah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan.

Bagi maklumat lebih lanjut sistem LARIS, orang ramai bolehlah melayari lama web di www.tanah.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA