LARIS sediakan permohonan melalui proses dalam talian

LARIS sediakan permohonan melalui proses dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Sistem Permohonan dan Pendaftaran Maklumat Tanah (LARIS) membolehkan pemilik tanah atau peguam menghadapkan permohonan tanah yang diproses di Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan melalui proses atas talian (online land application).

Jabatan Tanah dalam kenyataannya menjelaskan, permohonan yang boleh dilakukan menerusi sistem berkenaan di laman sesawang www.laris.gov.bn, termasuk Pindah Milik Tanah, tukar Syarat Khas Tanah, Gadaian Tanah kepada Institusi Kewangan, Pajakan Tanah Persendirian (lebih tujuh tahun) dan menyambung Tempoh Pajakan Tanah Persendirian.

Dalam pada itu, pihak jabatan mengingatkan, jika didapati maklumat yang diberikan tidak benar dan betul, permohonan tidak akan diterima dan tidak akan diproses.

Bagi permohonan yang telah lulus, semua dokumen asal dan geran tanah asal hendaklah diserahkan kepada Jabatan Tanah untuk didaftarkan ke Bahagian Pendaftaran, Jabatan Tanah mengikut daerah masing-masing.

Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon melalui e-mel Portal e-Darussalam.

Dalam usaha memberi keselesaan kepada orang ramai, kemudahan kiosk juga disediakan di beberapa buah tempat seperti di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi Anggerek Desa dan di ibu pejabat jabatan (Bahagian Pendaftaran dan Bahagian Permohonan dan Penggunaan Tanah).

Sementara itu, empat kiosk lagi ditempatkan di setiap Pejabat Tanah Daerah di seluruh negara dan mulai 2 Mei yang lalu, permohonan mendapatkan kebenaran tanah menggunakan perkhidmatan peguam dikehendaki memohon permohonan mereka dalam talian.

ARTIKEL YANG SAMA