‘Last Hour’ bantu kumpul dana ‘Seeing is Believing’

‘Last Hour’ bantu kumpul dana ‘Seeing is Believing’

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – ‘Last Hour’ yang merupakan salah satu inisiatif pengumpulan dana sejagat terbesar Bank Standard Chartered (SCB) kembali lagi dengan matlamat mengumpul dana bagi ‘Seeing is Believing’ dengan meminta kakitangan supaya mendermakan gaji bagi nilai jam terakhir tahun ini ke dalam program berkenaan.

SCB dalam kenyataannya berjanji akan menyelaraskan setiap dolar yang didermakan menerusi inisiatif ini.

Menurut kenyataan itu, sejak 2009, inisiatif Last Hour telah mengumpul lebih AS$3.6 juta dengan penyelarasan SCB.

Kakitangan bank berkenaan di seluruh dunia boleh memilih untuk mendermakan nilai satu jam atau sebarang jumlah daripada gaji mereka bagi penghujung tahun 2015.

Menerusi portal kakitangan global bank, pilihan jumlah derma yang dihasratkan dilakukan secara online dan pemotongan derma dibuat daripada gaji kakitangan pada Januari 2016.

Jualan amal yang dijalankan bagi membantu mengumpul dana ‘Seeing is Believing’.
Jualan amal yang dijalankan bagi membantu mengumpul dana ‘Seeing is Believing’.

Pengawal Kewangan dan Ketua Pegawai Risiko di SCB Brunei, Annie Ng dipetik sebagai berkata; “Secara peribadi, saya mendapati inisiatif ini sangat bermakna kerana walau sedikit pun mampu mengubah kehidupan mereka yang kekurangan dari segi visual dan yang memerlukan bantuan kewangan.

“Menerusi ‘Seeing is Believing’, kami telah dapat mendermakan peralatan bantuan dan kanta khas kepada pelajar-pelajar yang mengalami masalah penglihatan di Brunei dan kami terus menyokong Pertubuhan Orang Buta Kebangsaan Brunei Darussalam, bagi premis-premis mereka,” tambahnya.

Kakitangan yang memilih untuk menderma sejumlah daripada gaji penghujung tahun mereka juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan dua pemenang akan berpeluang melawat dan melihat sendiri Projek ‘Seeing is Believing’.

‘Seeing is Believing’ merupakan inisiatif sejagat SCB untuk menangani kebutaan yang dapat dielakkan (yang dapat dicegah dan dirawat).

Dengan kerjasama Agensi Antarabangsa bagi Pencegahan Buta (IAPB) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan penjagaan mata antarabangsa terkemuka di seluruh dunia, inisiatif ini bermatlamat untuk mengumpul AS$100 juta menjelang 2020 menerusi pengumpulan dana dan penyelarasan Bank.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak AS$82 juta telah dikumpulkan sejak 2003 dan telah membantu lebih 100 juta orang menerusi campur tangan perubatan, pemeriksaan mata, pendidikan kesihatan dan latihan pekerja kesihatan.

‘Seeing is Believing’ membiayai projek-projek kesihatan mata dalam masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana dalam kawasan bank.

Ia menyasarkan kawasan yang amat memerlukan di mana kemudahan kepada penjagaan mata berkualiti dan termampu adalah rendah.

Seramai 285 juta orang di dunia mengalami kebutaan atau kurang upaya penglihatan, namun 80 peratus kes-kes itu boleh dicegah atau dirawat, yang mana penyelesaian adalah tersedia dan berkesan dari segi kos.

Dengan hanya AS$30 boleh membayar bagi operasi katarak untuk mengembalikan penglihatan orang dewasa, AS$16 bagi ujian mata dan sepasang kaca mata boleh membawa perbezaan antara seorang kanak-kanak yang maju di sekolah dan merealisasikan potensi mereka atau terpaksa tercicir daripada pembelajaran.

ARTIKEL YANG SAMA