Latif hadapi 15 pertuduhan

Latif hadapi 15 pertuduhan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas 15 pertuduhan menerima dan memberi rasuah, dan juga menipu.

Latif bin Haji Salleh untuk pertuduhan pertama hingga kelima didakwa menerima rasuah $50 daripada lima warga Indonesia iaitu Wagimin bin Reja Santika, Tukinah, Suwiji bin Toimin, Sri Purwo dan Djayadi pada 5 April 2013, di kawasan Pejabat Pos Anggerak Desa, Pasaraya Teguh Raya, Kampung Mulaut dan Pasaraya Atlanta, dengan menggunakan kuasa seorang pegawai imigresen, Samsi bin Moktal yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah untuk melanjutkan tempoh pas melawat.

Untuk kesalahan keenam, tertuduh antara Februari dan Mac 2013 berdepan dakwaan memberi rasuah berupa ikan dan udang yang dianggarkan berharga $100 kepada Samsi bin Moktal bagi membantunya melanjutkan tempoh pas melawat untuk kelima-lima warga Indonesia tersebut.

Pertuduhan ketujuh menyebut, tertuduh pada hujung Februari 2013 di letak kereta National Inn Emporium, Kampung Madewa telah menyogok Samsi bin Moktal sejumlah wang $200 ke $300 sebagai ganjaran dalam membantunya melanjutkan tempoh pas melawat bagi lima warga Indonesia yang sama.

pg06_151105_mahkamah logo2

Tertuduh untuk pertuduhan kelapan pada pertengahan Mac 2013 di letak kereta National Inn Emporium, Kampung Madewa telah memberi rasuah $200 ke $300 kepada Samsi bin Moktal sebagai ganjaran dalam membantunya untuk melanjutkan tempoh pas melawat untuk lima warga Indonesia terbabit.

Untuk pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh boleh dikenakan denda $30,000 dan penjara selama tujuh tahun.

Untuk kesalahan kesembilan hingga kelima belas, tertuduh sekitar Mac 2013 telah menipu tujuh individu warga Indonesia iaitu Use Heryamin, Lena Leana, Siswo, Suharti, Siti, Muryaningsih dan Rokhati dengan memberitahu mereka bahawa dia sudah melanjutkan tempoh pas melawat mereka selama dua minggu, dan secara tidak jujur menerima wang suapan $50 daripada mereka.

Kesalahan yang dilakukan tertuduh membawa kepada tempoh penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memohon kepada mahkamah untuk sebutan ditangguhkan selama sebulan bagi membolehkan tertuduh mempertimbangkan pengakuannya dan untuk mendapatkan khidmat guaman.

Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh diikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA