Latih jurupandu pelancong berpotensi

Latih jurupandu pelancong berpotensi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Feb – Bagi memantapkan lagi pakej-pakej lawatan yang sedia ada dan menawarkan pakej-pakej baru akan datang, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; dan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong telah menganjurkan Bengkel Jurupandu Pelancong Destinasi Tutong yang pertama kalinya bagi daerah ini, hari ini.

Bengkel tersebut diadakan di Pusat Aktiviti Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Galeri 2, Jabatan Daerah Tutong, selama dua hari sehingga esok (25 Februari).

Hadir menyampaikan bengkel ialah Pelatih World Federation of Tourist Guide Association (WFTG), Roger Rajah dan beberapa orang jurupandu yang berpengalaman dari agensi pelancongan tempatan di negara ini.

Pada bengkel itu, sebanyak lima sesi taklimat dan satu latihan praktikal pakej Tutong City Tour bagi para peserta memantapkan lagi kebolehan dan kemahiran sebagai Jurupandu Pelancong dan menjadikannya sebagai pengalaman sebenar.

Para peserta Bengkel Jurupandu Pelancong bergambar ramai bersama pembimbing dan penganjur bengkel.
Para peserta Bengkel Jurupandu Pelancong bergambar ramai bersama pembimbing dan penganjur bengkel.

Dengan adanya bengkel ini, ia diharapkan akan dapat mengetengahkan jurupandu-jurupandu pelancong yang berpotensi, berkebolehan dan berkemahiran di dalam industri pelancongan khususnya bagi merealisasikan Program Destinasi Tutong ke arah yang lebih baik.

Selain itu, ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang teknik dan ilmu sebagai jurupandu pelancong sekali gus mengetengahkan jurupandu-jurupandu pelancong yang berpotensi dalam kalangan warga tempatan di daerah ini dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan sumber pendapatan jurupandu dalam industri pelancongan khususnya.

Turut menyertai bengkel ialah seramai 20 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Daerah Tutong, ahli-ahli MPMK, ahli sukarelawan, para belia dan pencari kerja di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA