Latih kemahiran anggota

Latih kemahiran anggota

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Penjara

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Jabatan Penjara, kelmarin, telah mengadakan Perlawanan Akhir Kemahiran Menembak Antara Institusi-Institusi Jabatan Penjara 2015 yang berlangsung di Galeri I, Padang Tembak Binturan Penanjong Garrison Tutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara, hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis berkenaan ialah Pegawai Yang Menjaga Institusi Penjara Maraburong, Penguasa Penjara Pengiran Haji Mohd Bahrin bin Pengiran Haji Jamaluddin.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa pertandingan itu merupakan salah satu daripada projek tahunan bagi Jabatan Penjara untuk melengkapkan para anggota dengan segala pengetahuan, kecekapan, dan kemahiran untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mana ia tidak dapat menjamin apa yang akan berlaku pada hari esok dan juga tidak selalu dapat memastikan bila pesalah akan bertindak.

Dengan cara ini, setiap anggota penjara akan sentiasa cekap, cekal dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Latihan kemahiran kali ini telah dijalankan selama empat hari bermula pada 14 Disember hingga kelmarin dengan sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Perseorangan Pistol ( 38 Smith & Wesson 4”) Kategori Berkumpulan Pistol ( S&W) dan Kategori Berpasangan VIP Pistol (S&W).

Johan kategori berpasangan VIP.
Johan kategori berpasangan VIP.

Dalam perlawanan itu, pasukan dari Institusi Ibu Pejabat meraih Johan Keseluruhan dalam Perlawanan Kemahiran Menembak Antara Institusi-Institusi Jabatan Penjara 2015.

Manakala itu, Wadar 459 Remy Ishak bin Abdullah Owek dinobatkan sebagai Penembak Terbaik Keseluruhan bagi Kategori Perseorangan Pistol.

Dalam Kategori Berkumpulan, pasukan dari Institusi Penjara Maraburong muncul johan dan Kategori Berpasangan VIP pula dijuarai oleh Penolong Penguasa Penjara, Salman bin Siggar yang berpasangan dengan Pegawai Penjara, Pengiran Safuandi Shah bin Pegiran Mat Tahir.

Perlawanan tersebut dihasratkan dapat memberikan peluang kepada setiap individu supaya lebih giat berusaha untuk mencapai satu taraf menembak dan pengendalian yang terbaik ke atas senjata api masing-masing.

Selain daripada itu, pertandingan tersebut juga diharap akan mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan anggota Jabatan Penjara yang mana dengan adanya perpaduan itu, ia akan memantapkan keberkesanan jabatan dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

ARTIKEL YANG SAMA