Latihan bersama Polis Marin

Latihan bersama Polis Marin

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Pasukan Polis Diraja Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Dua buah kapal Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) iaitu PH53-Blue Shark dan PH55-Basking Shark tiba di Dermaga Pelabuhan Muara hari ini, bagi ‘Latihan Pelayaran’ bersama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei.

Dua buah kapal berkenaan yang masing-masing berukuran 35 meter panjang dan membawa seramai 42 orang krew telah bertolak dari Singapura pada 19 Ogos lalu.

Sehubungan itu, bagi mengalu-alukan ketibaan kapal-kapal berkenaan bersama pegawai dan krewnya, majlis resepsi telah diadakan di Dermaga Pelabuhan Muara, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, SAC Mohd Irwan bin Haji Hambali.

Juga hadir mengalu-alukan ketibaan pegawai dan krew kapal berkenaan ialah para pengarah jabatan, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis dan pegawai-pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura.

Latihan bersama berkenaan merupakan kali ketiga diadakan di Negara Brunei Darussalam selepas kali pertama pada tahun 2011 dan kali kedua pada 2013.

Polis Pengawal Pantai Singapura bergambar ramai bersama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Polis Pengawal Pantai Singapura bergambar ramai bersama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis diberikan penerangan oleh pegawai dari SPCG.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis diberikan penerangan oleh pegawai dari SPCG.

Ia antara lain bertujuan untuk meningkatkan kebolehan kendalian di antara Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dengan Polis Pengawal Pantai, Pasukan Polis Singapura, selain meningkatkan keupayaan kedua-dua belah pihak untuk menjalankan rondaan dan operasi serta membolehkan kedua-dua pasukan mencegah dan memantau kejadian jenayah.

Di samping itu, latihan ini juga untuk meningkatkan hubungan akrab di antara para pegawai dan anggota kedua-dua pasukan melalui interaksi sosial dan sukan.

Ia merupakan bukti kepada ikatan yang sedia ada di antara kedua-dua organisasi dan latihan pada tahun ini boleh meningkatkan hubungan ke tahap yang lebih tinggi lagi di mana kerjasama antara pasukan adalah sangat mustahak terutama dalam aspek perkongsian maklumat, kemahiran dan melalui hubungan kerja rapat yang sudah sedia terjalin.

ARTIKEL YANG SAMA