Latihan bersama TLDM-MSDF perkukuh persefahaman

Latihan bersama TLDM-MSDF perkukuh persefahaman

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) – Latihan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (MSDF) merupakan medan terbaik untuk meningkat serta mengukuhkan lagi persefahaman pasukan kedua-dua negara, kata Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya.

Beliau berkata melalui latihan berkenaan, kedua-dua pihak dapat saling berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam melaksanakan operasi masing-masing.

“Ini adalah satu cara untuk kita menimba ilmu, sekali gus dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran terutamanya dalam cara pengendalian kapal kedua-dua pihak.

“Apa yang penting kita dapat meningkatkan serta mencapai persefahaman melalui latihan bersama yang akan dibuat selama empat hari sehingga Ahad ini,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena latihan bersama itu, di Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, dekat sini malam Khamis.

Tiga kapal MSDF iaitu Akebono (DD-108), Yamayuki (DD129) dan Hatakaze (DDG-171) bersama 110 pelatih menyertai latihan bersama itu, sementara TLDM menghantar dua kapal iaitu KD Perak dan KD Lakasamana Muhammad Amin serta 120 anggota dan pegawai.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata pihaknya berharap latihan bersama itu dapat memberi pendedahan terbaik kepada kedua-dua pihak.