Latihan bertaraf dunia

Latihan bertaraf dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Pusat Latihan Pelbagai Guna (MPTC) CAE Brunei yang merupakan usaha sama CAE dan Kementerian Kewangan Brunei Darussalam, memberikan sokongan terhadap Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dalam pemilihan dan saringan juruterbangnya menggunakan peralatan latihan penerbangan PC-7 buatan CAE yang dipasang di MPTC berkenaan.

Menurut kenyataan CAE Brunei MPTC, TUDB menjangka penggunaan simulator PC-7 akan menghasilkan keputusan saringan yang lebih baik, mempercepatkan proses pemilihan juruterbang, dan menghasilkan kadar kelulusan yang tinggi bagi kadet juruterbang yang berpotensi.

Pengurus Besar, CAE Brunei MPTC, Kevin Speed berkata, menghasilkan juruterbang tentera adalah proses yang lama dan menelan belanja, dan sebelum ini TUDB telah melakukan proses penyaringannya di luar negara dan mempunyai kadar lulus yang rendah.

“Dengan CAE Brunei MPTC yang terletak di Brunei, kami menawarkan fleksibiliti kepada TUDB dalam menyesuaikan program-program latihan mereka, seperti yang telah kami lakukan bagi pemilihan dan saringan juruterbang,” tambahnya.

TUDB mempunyai proses pemilihan yang ketat dan rapi untuk menjadi juruterbang, dan proses ini bermula dengan saringan untuk mengenal pasti jika seseorang itu mempunyai keupayaan dan kebolehan menjadi juruterbang tentera.

pg01_150620_a

Kenyataan menambah, TUDB kini akan menggunakan PC-7 FTD bagi semua pegawai muda yang lulus dalam kursus pegawai mereka dan berhasrat untuk menjadi juruterbang.

Dengan menggunakan PC-7 FTD sebagai sebahagian daripada proses penyaringan menyeluruh, TUDB berharap untuk mengenal pasti kadet-kadet juruterbang yang akan meneruskan latihan juruterbang, dengan lebih pantas.

Kelas pertama kadet-kadet juruterbang berpotensi baru sahaja menamatkan kursus pemilihan selama dua minggu menggunakan PC-7 FTD di MPTC.

Speed berkata, program latihan PC-7 yang ditawarkan di CAE Brunei MPTC adalah bertaraf dunia, merangkumi latihan akademik serta latihan sintetik menggunakan simulator PC-7.

“Kami mempunyai tenaga pengajar penerbangan berpengalaman yang sebelumnya berkhidmat di TUDB dan Tentera Laut Diraja Australia, yang berdedikasi untuk membantu melahirkan juruterbang tentera generasi seterusnya yang profesional dan berkemampuan,” tambah beliau.

pg08_150620_a

Di samping latihan PC-7, MPTC CAE Brunei turut menawarkan program latihan komprehensif bagi helikopter Sikorsky S-92, termasuk simulator penerbangan penuh CAE 3000 Series S-92.

Dalam pada itu, kenyataan turut memaklumkan bahawa, pada tahun depan, CAE Brunei MPTC akan menerima penghantaran simulator helikopter CAE 3000 Series S-70i Black Hawk dan mula menawarkan program latihan komprehensif bagi Sikorsky S-70i Black Hawk.

CAE Brunei MPTC juga telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kecemasan dan Pengurusan Krisis yang akan menyediakan latihan komprehensif untuk meningkatkan perancangan dan persiapan kecemasan, kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkaitan seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC).

Menggunakan latihan berasaskan simulasi, CAE Brunei MPTC akan menawarkan program-program latihan kecemasan dan pengurusan krisis, yang akan membantu memperbaiki penyelarasan, tindak balas dan pembuatan keputusan operasi semasa pelbagai senario kecemasan.

Pusat berkenaan juga akan menawarkan latihan kecemasan dan pengurusan krisis kepada negara-negara anggota ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA