Latihan ketenteraan perkukuh hubungan Malaysia-Filipina

Latihan ketenteraan perkukuh hubungan Malaysia-Filipina

SUNGAI PETANI, 15 Sept – Latihan bersama tentera Malaysia-Filipina (Land MALPHI) yang wujud sejak 22 tahun lalu bukan sahaja mengukuhkan hubungan bilateral sedia ada antara kedua-dua negara malah mampu menjadi platform menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor berkata ia melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan maklumat berkaitan perkara yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara, misalnya ancaman Daesh dan kes penculikan yang kerap berlaku di Semporna, Sabah.

“Eksesais ini boleh jadi sebahagian daripada pengukuhan dan memberi kita ruang dan peluang untuk berinteraksi dan saling mengetahui keupayaan dan ‘interoperability’.

“Ini ke arah memperkukuh saling kepercayaan antara satu sama lain dan jika perlu kedua-dua negara akan bekerja akrab ke atas perkara yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutupan Eksesais Land Malphi Siri 17/2016 antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Filipina di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, di sini hari ini.

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi (dua kiri) menanggalkan penanda lengan sebagai simbolik tamat latihan Eksesais LAND MALPHI Siri 17/2016 di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Lapangan Terbang kelmarin. – Bernama
Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi (dua kiri) menanggalkan penanda lengan sebagai simbolik tamat latihan Eksesais LAND MALPHI Siri 17/2016 di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Lapangan Terbang kelmarin. – Bernama

Turut hadir Panglima Tentera Darat Filipina Leftenan Jeneral Eduardo M Ano. Eksesais bermula 4 hingga 17 Sept itu anjuran Formasi 6 Briged dan Pasukan 4 Rejimen Renjer Diraja. Ia disertai 46 pegawai dan anggota tentera Filipina, serta 50 pegawai Pasukan 4 Rejimen Renjer Diraja.

Mohamed Affandi turut menambah, usaha menangani ancaman jenayah rentas sempadan turut diperkukuh lagi dengan kerjasama tiga negara berjiran – Malaysia, Filipina dan Indonesia untuk mengawal perairan maritim.

Dalam majlis itu juga Mohamed Affandi dan Eduardo turut menandatangani Terma Rujukan (TOR) bagi memperkemas Memorandum Persefahaman melibatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada Sept 1994.

Melalui TOR yang baharu itu, beliau berkata kedua-dua negara dapat memperkemas lagi bentuk latihan agar lebih seragam selain pertukaran maklumat baharu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA