Latihan KL GP ditangguh

Latihan KL GP ditangguh

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Sesi latihan KL City Grand Prix 2015 yang dijadual bermula 8.45 pagi ditangguh 2 petang ini berikutan kerja-kerja pembaikan.

Ketua steward James Leong dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang melakukan pemeriksaan trek pada 8.15 pagi ini.

“Semua program latihan dan perlumbaan pagi ini akan bermula selepas semua kerja-kerja pembaikan di litar itu selesai.

“Buat sementara, semua sesi akan bermula pada 2 petang bergantung kepada keputusan steward sama ada mereka berpuas hati selepas melakukan pemeriksaan semula di litar pada 1.30 tengah hari,” katanya.

Difahamkan masalah itu timbul disebabkan perlumbaan jalanan itu dianjurkan buat pertama kali dalam sejarah sukan permotoran Malaysia.

Kuala Lumpur menjadi tumpuan peminat sukan permotoran melalui perlumbaan kereta supersports, KL City Grand Prix bermula hari ini hingga Ahad. – Bernama
Kuala Lumpur menjadi tumpuan peminat sukan permotoran melalui perlumbaan kereta supersports, KL City Grand Prix bermula hari ini hingga Ahad. – Bernama

KL City GP, festival perlumbaan kereta supersports di litar yang dikhaskan sepanjang jalan raya utama di Kuala Lumpur akan menyaksikan pelbagai perlumbaan kereta GT seperti Lamborghini Super Cup, Formula Masters, Porsche Carrera Cup dan Audi R8 LMS Cup selain demonstrasi lima pasukan terbaik siri supercars V8.

Perlumbaan itu akan bermula di Kuala Lumpur Convention Centre dan melalui Jalan P.Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Pinang serta berakhir di KLCC.