Latihan Maju Bersama ke-21 labuh tirai

Latihan Maju Bersama ke-21 labuh tirai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura terus menikmati hubungan pertahanan yang erat dan hubungan yang sudah lama terjalin itu disuburkan lagi dengan Latihan Maju Bersama siri ke-21 yang berlangsung dari 8 hingga 19 November.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan yang diterima di sini, hari ini, majlis penutup latihan di Mandai Camp Hill, Republik Singapura itu dihadiri oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar Jeneral Melvyn Ong Su Kiat.

Menurut kenyataan itu lagi, latihan antara TDDB dan Tentera Darat Singapura itu melibatkan kira-kira 350 anggota daripada 2nd Singapore Infantry Brigade (2 SIB), 16th Command, Control, Communications, Computers and Intelligence Battalion (16 C4I Bn) dan Batalion Ke-2, TDDB.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohammad Tamit telah mengunjungi latihan berkenaan pada 11 November.

Latihan Maju Bersama kali ini tiba pada waktu yang bermakna kerana kedua-dua negara sedang memperingati ulang tahun hubungan pertahanan yang ke-40.

Latihan yang dikendalikan sejak 1995 itu terus menjadi landasan penting untuk meningkatkan interoperability, interaksi dan persefahaman antara kedua-dua tentera darat, seterusnya memperkayakan skop yang lebih luas dalam kerjasama ketenteraan kedua angkatan tentera secara keseluruhannya.

ARTIKEL YANG SAMA