Latihan PASSEX tutup tirai

Latihan PASSEX tutup tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Kapal Diraja Brunei (KDB)Darulehsan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), kelmarin, telah menamatkan latihan ‘Passage Exercise’ (PASSEX) dengan Kapal Perang Tentera Laut Perancis (TLP), FNS Vendemiaire.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, semasa latihan PASSEX ini, KDB Darulehsan dan FNS Vendemiaire menjalankan latihan Maritime Interdiction Operations (MIO) di mana kedua-dua buah tentera laut bergilir-ganti membuat prosedur soal siasat dan menaiki kapal sekali gus sebagai saluran untuk penambahbaikan dalam menjalankan operasi menaiki kapal di laut.

Latihan-latihan ini termasuk angkat bendera, gerakan asas kapal, operasi bot kecil yang melibatkan pertukaran anggota, lawatan, latihan carian dan penyitaan dan susunan kapal-kapal layar.

Latihan bersama Kapal Perang FNS Vendemiaire yang berukuran 93.5m di bawah perintah Komander Damien Lopez dan membawa kira-kira 99 orang pegawai dan anak kapal ini bertujuan untuk meningkatkan persahabatan dua hala, persefahaman dan kepercayaan dengan TLDB, yang mana ia sejajar dengan dasar kedua-dua negara bagi menggalakkan perkongsian strategik dua hala.

pg04_151121_a

KDB Darulehsan dan FNS Vendemiaire menjalankan latihan Maritime Interdiction Operations (MIO) dengan kedua-dua buah tentera laut bergilir-ganti membuat prosedur soal siasat dan menaiki kapal.
KDB Darulehsan dan FNS Vendemiaire menjalankan latihan Maritime Interdiction Operations (MIO) dengan kedua-dua buah tentera laut bergilir-ganti membuat prosedur soal siasat dan menaiki kapal.
Senario sebahagian daripada latihan antara kedua-dua buah pasukan.
Senario sebahagian daripada latihan antara kedua-dua buah pasukan.

Kapal Perang TLP berkenaan tiba di Negara Brunei Darussalam pada 14 November bagi rangka lawatan muhibah selama lima hari.

Dalam rangka aktiviti yang biasa dilaksanakan di Pasifik Selatan, Kapal Perang FNS Vendemiaire biasanya membuat perhentian singkat di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Brunei Darussalam.

Lawatan singkat di negara ini memupuk kerjasama maritim dan meningkatkan operasi bersama, terutama hubungan baik yang sedia terjalin di antara TLDB dan TLP.

Sebagai sebahagian daripada lawatan mereka ke negara ini, anak-anak kapal perang berkenaan juga mengadakan beberapa lawatan di sekitar Negara Brunei Darussalam termasuk tempat-tempat yang kaya dengan budaya bagi rakyat Brunei seperti Kampong Ayer, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Muzium Brunei dan Muzium Maritim Brunei serta Pusat Kesenian dan Pertukangan Brunei.

Sukan interaksi turut diadakan antara pegawai TLP dan TLDB dengan perlawanan persahabatan bola sepak, di mana kedua-dua pasukan bermain dalam semangat berdaya saing penuh.

Kapal perang FNS Vendemiaire mengakhiri lawatan muhibah ini kelmarin bagi meneruskan perjalanan mereka.

Hadir untuk mengucapkan selamat belayar dari TLDB ialah Komander Sahibul Bahari bin Haji Zainal Abidin dan pegawai-pegawai TLDB serta Pancaragam Tentera Laut.

ARTIKEL YANG SAMA