Latihan pastikan keselamatan makanan

Latihan pastikan keselamatan makanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Dalam usahanya melaksanakan kawalan ke atas kebersihan dan keselamatan rangkaian makanan, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengadakan Kursus In-house Training for Trainers Hygiene on Board (Latihan Dalaman bagi Pelatih Kebersihan di Kapal) bagi pegawai-pegawai jabatan tersebut bermula 10 Oktober lalu sehingga esok.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Jabatan Perikanan menekankan bahawa ia merupakan ‘Competent Authority’ (Pihak Berkuasa Bertauliah) bagi memastikan kawalan pengeluaran utama untuk pemprosesan dan pengedaran makanan laut.

Sehubungan itu, amalan kebersihan dan pengawalan kualiti hasil tangkapan semasa di atas kapal terlibat secara langsung bagi memastikan keselamatan makanan dalam rangkaian makanan.

Kursus disampaikan oleh tenaga pengajar dari Bahagian Biosekuriti Perikanan Malaysia, Siti Hasshura binti Hashim dan dihadiri seramai 30 orang pegawai Jabatan Perikanan.

Pada majlis penutup kursus itu esok, peserta bakal menerima sijil penyertaan daripada tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Perikanan, Dayang Mariani binti Haji Sabtu.

Kursus ini bertujuan mening-katkan ‘kapasiti dalaman’ pegawai-pegawai di Jabatan Perikanan dalam melatih, membimbing, memberi kesedaran dan berkongsi pengetahuan mengenai kepentingan amalan kebersihan di atas kapal dan tempat pendaratan ikan.

Ia juga sebagai persediaan dan mengukuhkan keupayaan Jabatan Perikanan bagi mengeksport ikan tangkapan ke peringkat antarabangsa khususnya, seperti yang diperlukan Kesatuan Eropah.

Selain dilatih sebagai tenaga pengajaran dalaman, kursus ini juga memuatkan sesi amali di mana peserta diberi tunjuk ajar tatacara mengenai pengendalian ikan yang baik, menilai tahap kerosakan dan kualiti ikan, amalan kebersihan di atas kapal dan kebersihan pekerja dan sebagainya seperti yang terkandung dalam Garis pandu Amalan Baik Kebersihan di atas kapal dan tempat pendaratan.

Ini sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk memantau dan menghargai diri sebagai pegawai pengembangan.

Latihan juga memantapkan lagi keupayaan pegawai-pegawai jabatan ini supaya berkeyakinan sebagai pelatih yang terlatih dalam memberi latihan dan bimbingan dari semasa ke semasa kepada pengusaha dan pekerja di atas kapal menangkap ikan untuk memberigakan hal kepentingan ke-selamatan makanan dalam amalan kebersihan sebelum, semasa dan selepas pengendalian ikan di atas kapal sama ada untuk eksport atau pasaran tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Perikanan menjangkakan penghasilan daripada industri penangkapan ikan laut akan menjadi satu tumpuan Pelan Strategik Perikanan negara dengan jumlah 480 tan metrik ikan tuna dengan nilai $2.88 juta pada tahun 2020 yang mana ia berpotensi dieksport.

Penangkapan ikan tuna di Zon 4 bagi tujuan eksport ke pasaran seperti EU dan Jepun yang merupakan pasaran-pasaran ikan yang menekankan keperluan piawaian kesegaran, kualiti dan keselamatan ikan yang tertinggi.

Produk berkualiti tinggi boleh menguasai harga ikan sebanyak 20 hingga ke 40 peratus lebih tinggi di pasaran eksport.

ARTIKEL YANG SAMA