Latihan penuh bagi ‘Junjung Ziarah’ lancar

Latihan penuh bagi ‘Junjung Ziarah’ lancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Persiapan dan latihan penuh dilaksanakan untuk memastikan serta mengemaskinikan segala persediaan bagi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah ke Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-69 Tahun yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.

Hadir untuk menyaksikan latihan penuh bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah ke Daerah Brunei dan Muara berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir sama semasa raptai penuh berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara serta ahli jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan.

Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Pehin berpeluang menyaksikan raptai penuh Persembahan Khas dengan meninjau persediaan persembahan dan lokasi sebelum acara kemuncak menjunjung Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang akan berlangsung pada 23 Ogos nanti.

Yang Berhormat Pehin meninjau dengan lebih dekat latihan penuh persembahan khas.
Yang Berhormat Pehin meninjau dengan lebih dekat latihan penuh persembahan khas.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan para peserta persembahan berkenaan.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan para peserta persembahan berkenaan.

pg08_150820_c

Para peserta membuat raptai penuh bagi persembahan khas yang bakal berlangsung pada acara kemuncak pada 23 Ogos nanti.
Para peserta membuat raptai penuh bagi persembahan khas yang bakal berlangsung pada acara kemuncak pada 23 Ogos nanti.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan untuk berinteraksi dan beramah mesra bersama ahli-ahli jawatankuasa dan lebih 500 peserta Persembahan Khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, penuntut-penuntut sekolah, ahli badan bukan kerajaan, sukarelawan serta masyarakat di Daerah Brunei dan Muara.

Tema Persembahan Khas bagi daerah itu sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun adalah ‘Raja Gemilang Sanjungan Negara’.

Persembahan itu berkonsepkan rakyat progresif menanai nilai dan teras murni negara ke arah pembangunan negara yang progresif dan kesiap siagaan rakyat dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA