Latihan penuh di Temburong berjalan lancar

Latihan penuh di Temburong berjalan lancar

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 13 Julai – Bagi memastikan kelancaran Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli Bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat Serta Penduduk Daerah Temburong Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 Tahun, latihan penuh bagi majlis berkenaan telah diadakan hari ini di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong, Pekan Bangar.

Hadir menyaksikan latihan penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan tahun ini.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Awang Mohammad Sunadi bin Haji Buntar; dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Bagi Daerah Temburong.

Persiapan latihan berkenaan khusus bagi persembahan khas padang yang mana pada tahun ini mengetengahkan pondok-pondok etnik di Daerah Temburong dengan tema persembahan ‘Raja Berdaulat, Laila Perkasa’ dan konsep persembahan ‘Memperkasa Masyarakat Melalui Warisan Budaya’.

Tema ini menggambarkan kedaulatan dan kecemerlangan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai seorang Sultan yang kekal berdaulat serta disanjung tinggi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar hadir menyaksikan latihan penuh tersebut kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar hadir menyaksikan latihan penuh tersebut kelmarin.
Suasana semasa latihan penuh diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong, Pekan Bangar, kelmarin.
Suasana semasa latihan penuh diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong, Pekan Bangar, kelmarin.

Dalam persembahan itu, Pondok Melayu mengetengahkan persembahan silat yang mempamerkan seni silat digelar ‘Seni Silat Spring 12’ di gelanggang silat yang dikhaskan oleh kira-kira 20 orang pesilat yang terdiri daripada remaja dan orang dewasa daripada kalangan puak Melayu.

Pondok Murut pula menampilkan keunikan adat perkahwinan puak Murut dengan mempamerkan pengantin duduk di atas tawak-tawak dengan adat Ngated Tayen (yang masih dipraktikkan oleh puak Murut hingga sekarang), dan akan disertai oleh kira-kira 20 orang penduduk daripada Puak Murut.

Pondok Iban akan menumpukan kepada pembuatan senjata dan tarian Ngajat suku puak Iban, di mana tarian ngajat yang digelar Ngajat Bujang Berani akan dipersembahkan yang menunjukkan ketangkasan dan keberanian pahlawan puak Iban dengan berlatarbelakangkan cara pembuatan senjata daripada puak Iban.

Sementara itu, Pondok Cina pula akan mengetengahkan penulisan/kaligrafi dengan mempamerkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tulisan kaligrafi puak Cina dalam sebuah kelas lama. Kira-kira 20 orang peserta terdiri daripada golongan remaja dan dewasa akan ikut serta dalam segmen persembahan ini.

Para peserta persembahan khas tersebut melibatkan para penuntut Sekolah Persediaan Arab Temburong, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, anggota pasukan beruniform, ahli-ahli persatuan, badan sukarelawan, pasukan kadet dan majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong serta puak etnik di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA