Latihan Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar tingkat kemahiran

Latihan Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar tingkat kemahiran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Kerja-kerja menyelamat dan memulihkan hidupan liar bukan usaha yang mudah tetapi memerlukan latihan yang bersesuaian dan betul.

Selain itu, ia juga memerlukan penggunaan peralatan, ilmu pengetahuan, kaedah serta bekalan perubatan yang betul kerana tanpa semua itu, jika kegiatan menyelamat hidupan liar dilakukan ia mungkin membawa kepada kecederaan dan juga jangkitan penyakit binatang.

Dalam hubungan itu, usaha untuk meningkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan kaedah menyelamat serta pemulihan hidupan liar mendapat suntikan positif melalui penganjuran Latihan Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar yang dianjurkan bersama oleh Brunei Biodiversity & Natural History Society (BruWILD) dan International Wildlife Rehabilitation Council (IWRC), jelas Presiden dan Pengasas BruWILD, Liaw Lin Ji dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Latihan Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Hadir di majlis berkenaan selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian latihan ialah Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Craig Allen.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub; Ketua Bahagian Hidupan Liar, Haji Faisal; Dekan Sains, Fakulti Sains UBD, Dr Abby Tan; Pegawai Perhubungan Awam ISB, Nicholas Klein; pakar dan jurulatih daripada IWRC, Dr Kelli Knight dan Lloyd Brown serta para peserta bengkel latihan berkenaan.

Craig Allen menerima sijil penghargaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Liaw Lin Ji.
Craig Allen menerima sijil penghargaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Liaw Lin Ji.

Lin Ji dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa sejak penubuhan BruWILD, kumpulan sukarelawan itu menghadapi pelbagai cabaran dalam tugas-tugas menyelamat hidupan liar di Brunei.

Antara cabaran yang dihadapi, ulasnya, termasuk kurang kepakaran dan tiada kewujudan pusat pemulihan hidupan liar yang sesuai. Oleh itu, bengkel latihan yang dianjurkan bersama dengan IWRC itu merupakan langkah pertama dalam meningkatkan lagi kerja-kerja menyelamat dan pemulihan hidupan liar di Brunei.

Beliau menambah bahawa bagi memastikan peserta bengkel latihan itu dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari dengan berkesan, mereka akan bekerja rapat dengan BruWILD dan Bahagian Kehidupan Liar dalam operasi menyelamat kehidupan liar di Brunei pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Kelli Knight dalam kata alu-aluan ringkasnya berkata, bengkel latihan ringkas itu akan mendedahkan para peserta kepada ilmu pengetahuan asas mengenai anatomi dan fisiologi, pengendalian, pemeriksaan fizikal dan penjagaan awal kehidupan liar semasa kerja menyelamat dan pemulihan.

Beliau menyatakan lagi, kerjasama yang julung-julung kali diadakan di antara IWRC dan BruWILD itu, merupakan asas kepada pengembangan ilmu pengetahuan yang boleh dipraktikkan untuk memastikan kejayaan operasi bagi penubuhan Pusat Menyelamat Binatang yang akan datang.

Bengkel latihan yang bermula hari ini hingga 29 Julai itu, disertai seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan bukan kerajaan, institusi pengajian tempatan dan swasta, agensi-agensi kerajaan di mana mereka akan diberikan latihan mengenai kerja pengurusan, menyelamat dan pemulihan hidupan liar oleh dua orang pakar dan jurulatih daripada IWRC.

Selepas melalui latihan berkenaan, para peserta akan diberikan peluang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam operasi menyelamat hidupan liar di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA