Latihan perguruan perlu diteliti selalu

Latihan perguruan perlu diteliti selalu

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan bahawa dasar-dasar pendidikan yang diperkenalkan di negara ini jangan ia berdaulat di atas kertas tetapi hendaklah benar-benar dilaksanakan.

Baginda juga mahu supaya keberkesanan pendidikan atau latihan perguruan perlulah diteliti dan dinilai selalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan demikian semasa mengurniakan titah sempena Majlis Sambutan Hari Guru ke-25 bagi Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Sambutan Hari Guru tahun ini bertema ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan.’

Menurut Baginda, tema sambutan tahun ini adalah selaras dengan wawasan Paduka Ayahanda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah mentransformasi pendidikan itu sebagai peluang untuk semua lapisan masyarakat dapat merebutnya.

Baginda Sultan berkenan menyaksikan demonstrasi kaedah pembelajaran pendidikan khas.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan demonstrasi kaedah pembelajaran pendidikan khas.

“Baginda menitikberatkan pendidikan secara holistik, di mana pembelajaran ugama Islam diberikan keutamaan. Pandangan jauh Baginda ini membawa cemerlang syiar Islam dan memberi impak kepada kemakmuran.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, pendekatan pendidikan holistik ini, kita perkukuhkan lagi dengan menjadikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam sebagai salah satu mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan negara dan pelaksanaan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2013.

“Oleh yang demikian, Beta mengingatkan, supaya dasar-dasar ini jangan saja ia berdaulat di atas kertas, tetapi hendaklah benar-benar dilaksanakan.

“Matlamat kita ialah melahirkan generasi berugama dan progresif. Maka untuk tujuan ini, tidak diragukan lagi, turut diperlukan ialah guru-guru berwawasan, yang memiliki ciri-ciri kepimpinan berkesan.”

Dalam hubungan itu, Baginda menyambut baik inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan untuk memantapkan kualiti kepimpinan di peringkat sekolah.

Menurut Baginda, bagi kepentingan ini, pembangunan melalui latihan guru juga adalah perlu kerana kualiti seorang guru bukan saja diukur daripada kebolehan mereka mengajar dengan pedagogi tetapi turut menyangkut juga faktor kerohanian sifatnya selaku role model kepada pelajar.

Oleh itu, tegas Baginda, keberkesanan pendidikan atau latihan perguruan perlu diteliti dan dinilai selalu.

“Atas asas ini, Beta turut mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan untuk menilai kompetensi guru-gurunya melalui Teacher Performance Appraisal (Penilaian Prestasi Guru) atau TPA yang dibentuk dengan merujuk kepada Brunei Teacher Standard yang dilancarkan pada tahun 2014.

“Dengan inisiatif ini, para guru akan lebih mengetahui sejauh mana tahap kebolehan mereka dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.”

Dalam hubungan ini, Baginda menyarankan supaya pembangunan guru dapat dilakukan dari awal pengambilan guru lagi.

“Dengan ini, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah di Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, perlulah senantiasa memastikan program-program mereka adalah berkualiti tinggi.”

Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini dan berdoa semoga segala penat lelah, pengorbanan dan sumbangan mereka akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

ARTIKEL YANG SAMA