Latihan profesional jadi tentera

Latihan profesional jadi tentera

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Latihan-latihan yang diikuti oleh pegawai-pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah menumpukan kepada perubahan secara profesional dan penuh disiplin dalam usaha untuk membentuk Pegawai Kadet secara mental dan fizikal daripada orang awam kepada seorang pegawai tentera.

Justeru itu, kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sekeliling merupakan satu kemestian, di mana pelajaran dan latihan yang mereka lalui itu adalah bermatlamat untuk menyediakan mereka dari segi mental dan fizikal seorang Pegawai Tentera.

Saranan itu dibuat oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah ketika berucap pada Majlis Pelantikan Pangkat dan Pelancaran Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-15 yang berlangsung di Ceremonial Hall, Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Yang Dimuliakan Pehin turut berkata bahawa pegawai-pegawai kadet akan mengikuti latihan kepimpinan dua hala dengan negara sahabat pada tahun ini dan beliau percaya bahawa latihan-latihan seumpama itu mampu untuk melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang lebih peka dan sensitif bukan sahaja kepada teknik operasi yang berlainan tetapi juga kepada perbezaan budaya dan etika kerja angkatan tentera sahabat.

“Selain daripada itu, semua ini boleh membuka minda dan membantu kepada memperkembangkan tahap kepimpinan dan keyakinan pegawai-pegawai kadet.”

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih berkata latihan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet menumpukan kepada perubahan secara profesional dan penuh disiplin dalam usaha untuk membentuk mereka secara mental dan fizikal daripada seorang awam kepada seorang pegawai tentera.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih berkata latihan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet menumpukan kepada perubahan secara profesional dan penuh disiplin dalam usaha untuk membentuk mereka secara mental dan fizikal daripada seorang awam kepada seorang pegawai tentera.

Beliau juga berkata bahawa setelah tamat latihan nanti, pegawai-pegawai kadet akan dianugerahkan dengan Diploma Kebangsaan dalam bidang Kepimpinan dan Pengurusan Tentera daripada Majlis Pengiktirafan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

“Dengan pengiktirafan itu nanti akan mempersiapkan dan membentuk pegawai-pegawai kadet agar lebih lengkap dan kompeten pada menggerakkan pembangunan angkatan bersenjata mengikut calak Brunei.”

Semasa majlis tersebut, Yang Dimuliakan Pehin juga memaklumkan kepada ibu bapa bahawa Sekolah Pegawai Kadet mempunyai garis pandu dan mekanisme yang jelas bagi mengendalikan kursus dan latihan pegawai-pegawai kadet.

Dalam hubungan itu, beliau menyeru dan menyarankan supaya pihak ibu bapa dapat memberikan kerjasama serta kepercayaan sepenuhnya kepada pihak Sekolah Pegawai Kadet untuk membimbing dan mendidik anak-anak mereka menjadi seorang pegawai tentera yang bertanggungjawab, beretika tinggi dan profesional.

Sepanjang latihan tersebut juga, para pegawai kadet akan melalui pelbagai rintangan, oleh itu, mereka disarankan untuk sentiasa bersikap proaktif, rajin, kerja keras, bersemangat juang yang tinggi serta penuh berdedikasi.

ARTIKEL YANG SAMA